
KOTA BHARU, 16 April- Kenaikan bantuan tunai BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan disambut baik golongan peniaga di Kelantan yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk operasi harian.
- Bantuan akan disalurkan bermula 21 April 2026, memberi kelegaan kepada peniaga.
- Peniaga ikan dan peniaga buah gembira; bantuan meringankan beban kos pengangkutan harian.
- Bantuan digunakan untuk menampung kos penghantaran jarak jauh menggunakan kenderaan seperti Hilux 4x4.
- Inisiatif dijangka memanfaatkan kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel di Semenanjung.
Seorang peniaga ikan, Mohd Zaki Abdullah berkata peningkatan bantuan itu amat dihargai dan membantu menampung sebahagian kos operasi yang meningkat sejak kebelakangan ini.
“Saya berasa gembira dengan kenaikan bantuan ini kerana dapat mengurangkan beban kos pengangkutan. Daripada kos yang tinggi sebelum ini, ia sedikit sebanyak dapat diringankan,” katanya.
Beliau menggunakan kenderaan diesel setiap hari untuk mengambil stok ikan dan menyifatkan bantuan tambahan itu sebagai kelegaan kepada peniaga sepertinya.
Sementara itu, peniaga buah, Muhammad Nafis Fauzan Zulkifli menyifatkan langkah kerajaan menaikkan bantuan tersebut sebagai tepat dalam menyokong kelangsungan perniagaan kecil.
Menurutnya, beliau perlu berulang-alik menghantar bekalan buah kepada pelanggan termasuk hotel di sekitar Kelantan selepas menerima stok daripada pembekal di Johor dan Perak.

“Kami menggunakan kenderaan seperti Hilux 4×4 untuk urusan penghantaran jarak jauh, jadi bantuan ini digunakan bagi menampung kos pengangkutan. Terima kasih atas kenaikan ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Ashrulanwar Abdul Ghani berkata, peningkatan bantuan itu memberi manfaat besar kepada peniaga yang menggunakan diesel dalam operasi harian.
“Kalau dulu RM200 tak cukup, kemudian naik ke RM300, sekarang RM400, alhamdulillah. Bila dapat tahu bantuan dinaikkan ke RM400 sebulan, ia sedikit sebanyak meringankan beban kami yang menggunakan diesel,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kenaikan bantuan BUDI Diesel Individu kepada RM400 sebulan yang akan disalurkan bermula 21 April 2026.
Inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan membantu meringankan kos sara hidup dan menyokong aktiviti ekonomi rakyat.