77 projek pembangunan akan dilaksana di Johor Bahru tahun ini

Foto FB Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

JOHOR BAHRU, 14 April – Sebanyak 77 projek pembangunan akan dilaksana di sini sepanjang tahun ini, melibatkan peruntukan RM31.06 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek merangkumi baik pulih, naik taraf infrastruktur dan pembangunan kemudahan awam.
  • Sepuluh projek dikenal pasti untuk kelulusan segera.
  • Keutamaan diberi berdasarkan bencana, sosial dan keselamatan bagi isu mendesak rakyat.
  • Menteri Besar mengarahkan agensi mengambil tindakan segera mempercepat kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa kelewatan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek itu merangkumi kerja baik pulih, naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam.

Sebanyak 10 daripada keseluruhan projek tersebut dikenal pasti untuk kelulusan segera.

“Keutamaan diberi berdasarkan tiga aspek iaitu bencana, sosial dan keselamatan. Ini mencerminkan kepekaan kerajaan negeri terhadap isu mendesak yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Johor Bahru di sini.

Jelasnya lagi, Menteri Besar Johor mengarahkan semua agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mempercepat proses kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa kelewatan, selaras keperluan mendesak di lapangan.

Dalam mesyuarat sama, sebanyak 288 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan secara menyeluruh.

“Daripada jumlah itu, 79 isu berjaya diselesaikan, manakala 92 isu sedang dalam pelaksanaan.

“Ini membuktikan setiap aduan dan permasalahan rakyat sentiasa diberi perhatian dan ditangani secara berterusan,” ujarnya.