
MARANG, 13 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan projek pendidikan kritikal perlu dipercepat bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.
- Pendemokrasian pendidikan dijadikan keutamaan untuk merapatkan jurang antara bandar dan kawasan lain.
- Pendidikan mesti mudah diakses dan bermutu supaya setiap pelajar mendapat peluang adil untuk meningkatkan mobiliti sosial.
- Tidak bergantung pada sekolah elit semata mata, kerajaan mengekalkan kuota matrikulasi untuk memastikan kesaksamaan peluang.
- Kolej Matrikulasi Terengganu dan sekolah berkonsep baharu dibina dengan fasiliti moden bagi memperkukuh sistem pendidikan.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan yang terus menjadi keutamaan kerajaan dalam merapatkan jurang antara golongan bandar dan luar bandar.
Katanya, pendidikan bukan sahaja perlu mudah diakses, tetapi juga mesti menjamin kualiti supaya setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang keluarga, mempunyai peluang yang adil untuk meningkatkan mobiliti sosial.
“Setiap anak, sama ada anak nelayan, petani, pekebun atau pekerja, mesti diberi kesempatan dan ruang untuk mendapat pendidikan yang baik.
“Bukan sekadar akses kepada pendidikan, tetapi akses kepada pendidikan berkualiti kerana itulah yang akan menentukan sama ada kita mampu bersaing atau tidak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan kebergantungan kepada sekolah elit semata-mata tidak boleh dijadikan pendekatan utama kerana ia berisiko mewujudkan ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan negara.
“Kerajaan mengambil pendekatan lebih seimbang dengan mengekalkan kuota program matrikulasi bagi memastikan pelajar daripada pelbagai latar belakang tidak tercicir daripada arus pendidikan berkualiti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kemudahan pendidikan baharu seperti kolej matrikulasi dan sekolah berkonsep baharu akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh sistem pendidikan negara.
Kolej Matrikulasi Terengganu yang merupakan kolej matrikulasi ke-16 di seluruh negara itu dijangka mampu menampung sehingga 3,000 pelajar.
Projek berkonsepkan ‘vertical school’ itu dibangunkan di atas tanah seluas 6.61 hektar dengan peruntukan RM27 juta, lengkap dengan pelbagai fasiliti moden termasuk makmal, asrama dan kemudahan akademik.
Majlis pecah tanah berkenaan merupakan antara pengisian lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Terengganu hari ini.