
KUCHING, 11 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keputusan mahkamah serta alasan penghakiman berhubung kes amang seksual membabitkan kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Batu Caves, Selangor, sebelum sebarang pandangan berkaitan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
- Menteri Nancy menegaskan akan meneliti alasan penghakiman dengan teliti bagi memahami fakta, pertimbangan mahkamah dan rasional sebelum sebarang ulasan dibuat.
- Kes penderaan seksual di pusat jagaan itu dianggap amat serius dan tidak boleh dipandang ringan, kata menteri.
- Seorang penjaga rumah kebajikan, Retna Velu, 25, mengaku bersalah atas 15 pertuduhan terhadap lima kanak-kanak; fakta kes dan hukuman ditetapkan 21 Mei.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata penelitian terhadap alasan penghakiman itu penting bagi memahami fakta kes, pertimbangan mahkamah dan rasional di sebalik keputusan yang dibuat sebelum sebarang ulasan atau tindakan susulan diambil.
“Saya perlu meneliti terlebih dahulu keputusan mahkamah tersebut, termasuk dapatan kes dan faktor-faktor yang menyebabkan hukuman itu dijatuhkan pada kadar sedemikian. Kita mempunyai latar belakang undang-undang, jadi kita tidak boleh melihat perkara ini secara sepintas lalu sahaja. Kita perlu melalui dan membaca keseluruhan keputusan mahkamah itu dengan teliti,” katanya kepada media ketika ditemui pada Program Outreach WCaRE: Pemerkasaan Komuniti Etnik di Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.
Datuk Seri Nancy berkata, kes penderaan seksual di pusat jagaan kanak-kanak itu amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan yang dibuat mahkamah berada di luar bidang kuasa kementeriannya dan perlu dihormati selaras dengan proses perundangan.
Menurut beliau, ibu bapa atau penjaga mangsa yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah juga mempunyai hak menggunakan saluran undang-undang sedia ada untuk mengemukakan rayuan.
Khamis lalu, seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak di Batu Caves, Retna Velu, 25 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas 15 pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat jagaan berkenaan antara November 2025 hingga Mac tahun ini.
Mahkamah menetapkan 21 Mei depan untuk fakta kes dan hukuman.