Krisis tenaga: Usaha pastikan bekalan bahan api mencukupi diutamakan

Antara langkah utama yang diambil ialah mempelbagaikan sumber bekalan minyak mentah dengan syarikat petroleum negara. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Usaha memastikan bekalan bahan api mencukupi diberi tumpuan serius kerajaan bagi menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi ketika dunia sedang berdepan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperbagaikan sumber bekalan minyak mentah, dengan PETRONAS diberi tanggungjawab melaksanakannya.
  • Perbezaan ciri minyak mentah memerlukan penyesuaian teknikal di kilang penapisan.
  • Keadaan menuntut kecekapan dan kesiapsiagaan industri tenaga tempatan.
  • Kerajaan meneliti trend global dan kemungkinan penggunaan sistem barter sebagai strategi kerjasama ekonomi.

Jelas Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, antara langkah utama yang diambil ialah mempelbagaikan sumber bekalan minyak mentah dengan syarikat petroleum negara, PETRONAS dipertanggungjawabkan melaksanakannya.

“Dulu mungkin kita bergantung daripada bekalan dari Asia Barat, sekarang ini mungkin kita kena tengok pasaran yang lain mungkin daripada negara Afrika, katanya.

Bagaimanapun, pelaksanaannya memiliki cabaran tersendiri memandangkan perbezaan ciri minyak mentah daripada pelbagai sumber memerlukan penyesuaian teknikal di kilang penapisan.

Sekali gus menuntut kecekapan dan kesiapsiagaan industri tenaga tempatan.

Beliau berkata demikian dalam program bicarawara bertajuk Mendepani Krisis Tenaga Global: Ikhtiar Perkukuh Ketahanan Ekonomi yang diterbitkan Bernama TV.

Selain itu, kerajaan turut meneliti perubahan trend global yang menyaksikan banyak negara mula memberi keutamaan kepada keperluan domestik masing-masing.

Situasi ini dijangka mendorong pendekatan baharu dalam hubungan antarabangsa termasuk kemungkinan penggunaan sistem barter atau pertukaran barangan sebagai strategi kerjasama ekonomi.

Ia langkah penting bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam suasana geopolitik yang semakin kompleks.