Gangguan Selat Hormuz: IKS tempatan disaran perkukuh rantaian bekalan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Gangguan terhadap laluan strategik perdagangan global di Selat Hormuz memberi kesan besar kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia, khususnya dari segi kos operasi dan kelangsungan perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan meningkatkan kos pengeluaran IKS, terutamanya sektor bergantung kepada tenaga dan bahan api.
  • Inventori kecil dan margin keuntungan tipis menghadkan kemampuan IKS menampung kos, meningkatkan risiko pengurangan output atau penutupan operasi.
  • Cadangan: perkukuh rantaian bekalan dengan utamakan sumber tempatan serta pelbagaian serantau; pengguna mungkin rasa kenaikan harga dalam sebulan.

Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berpandangan, ini berikutan kedudukan IKS di hujung rantaian bekalan.

“Sebahagian IKS menggunakan minyak sebagai input kepada barangan dan perkhidmatan. Justeru, kenaikan harga minyak akibat gangguan di laluan tersebut akan terus meningkatkan kos pengeluaran IKS, terutamanya bagi sektor yang bergantung kepada tenaga dan bahan api dalam operasi harian,” katanya kepada RTM.

Dari sudut kos logistik, beliau berkata kos pengangkutan bagi penghantaran barangan untuk setiap peringkat rantaian bekalan tersebut akan meningkat dan kemudian diserap dalam harga input barangan yang dijual kepada IKS.

Selain itu, kebanyakan IKS mempunyai saiz inventori kecil dan margin keuntungan tipis, sekali gus menghadkan keupayaannya untuk menampan kenaikan kos dalam jangka masa panjang.

Situasi tersebut mengakibatkan IKS berdepan risiko pengurangan pengeluaran dan kemungkinan menutup operasi sekiranya tekanan kos berterusan.

Bagi menghadapi situasi itu, beliau mencadangkan agar IKS memperkukuh rantaian bekalan dengan memberi keutamaan kepada sumber tempatan serta serantau.

“Seboleh-bolehnya kita cuba cari sumber tempatan untuk memenuhi setiap rantaian bekalan. Sekiranya tiada, maka kita boleh pelbagaikan dengan melihat kepada sumber-sumber di negara jiran yang terdekat kerana rantau ASEAN lebih stabil dari sudut geopolitik,” katanya.

Mengulas kesan kepada pengguna, beliau menjangkakan impak kenaikan harga tidak berlaku serta-merta, namun boleh dirasai dalam tempoh sekitar sebulan sekiranya krisis berterusan.