
KANSAS CITY, 15 Jun – Jude Bellingham boleh menjadi faktor penentu atau “X factor” buat England di Piala Dunia ketika pasukan kendalian Thomas Tuchel memburu trofi utama pertama mereka dalam tempoh 60 tahun, kata Jordan Henderson.
- Henderson puji perkembangan luar biasa Bellingham sejak debutnya pada usia 17 tahun.
- Bellingham, pemain Real Madrid, dijangka beri impak besar walaupun melalui musim dibelenggu kecederaan.
- Thomas Tuchel membentuk persekitaran dan budaya positif dalam pasukan dalam kira-kira setahun setengah.
- England diuji oleh Croatia (Modric ancaman besar), Ghana dan Panama dalam perlawanan Kumpulan L.
England dianggap antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan yang berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat selepas beberapa kali hampir mencapai kejayaan dalam Kejohanan Eropah dan Piala Dunia sebelum ini.
Henderson, percaya rakan tengahnya, Bellingham yang berusia 22 tahun, mampu memberi impak besar dalam beberapa minggu akan datang walaupun melalui musim yang dibelenggu kecederaan.
Bekas kapten Liverpool itu berkata bintang Real Madrid tersebut telah menunjukkan perkembangan luar biasa sejak membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada usia 17 tahun pada 2020.
“Perkembangannya sebagai pemain dan juga sebagai individu sejak itu memang luar biasa. Saya sudah nampak potensinya ketika pertama kali melihat dia bermain dan berlatih.
“Tetapi apa yang telah dicapainya pada usia yang begitu muda sangat mengagumkan. Apa yang dia berikan kepada kami memang sesuatu yang istimewa. Saya fikir dia benar-benar memberikan elemen ‘X factor’ kepada pasukan ini.
“Dia pemain yang menyerlah dalam perlawanan besar dan mempunyai pengalaman dalam kejohanan utama. Jadi dia adalah pemain yang sangat penting untuk kami dalam kejohanan ini,” kata Henderson.
Henderson turut memberikan pujian kepada Tuchel.
Jurulatih dari Jerman itu, yang pernah mengendalikan beberapa kelab besar termasuk Paris Saint-Germain dan Chelsea, mengambil alih tugas sebagai pengurus England pada awal tahun lalu dengan misi membawa pulang trofi Piala Dunia pertama England sejak 1966.
“Saya rasa dalam tempoh lebih kurang setahun setengah, beliau telah banyak mengubah pasukan ini dan berjaya mewujudkan persekitaran serta budaya yang sangat baik dalam kumpulan.
“Namun selepas itu, terpulang kepada para pemain untuk meneruskan budaya tersebut dan memimpinnya ke hadapan. Saya rasa kami telah melakukannya dan kini hanya perlu terus membinanya.
“Kami mempunyai banyak perkara positif hasil kerja keras sepanjang setahun yang lalu untuk sampai ke tahap ini,” kata Henderson.
England bakal menghadapi ujian sukar menentang Croatia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan L di Arlington, Texas pada Rabu, sebelum bertemu Ghana dan Panama.
Henderson yang kini berusia 35 tahun turut menekankan ancaman yang bakal dibawa oleh pemain veteran Croatia, Luka Modric, yang kini berusia 40 tahun.
“Bagi saya, dia mungkin pemain tengah terbaik yang pernah saya hadapi sepanjang karier saya.
“Saya rasa kariernya sudah cukup menggambarkan kualitinya.
“Dia pemain bertaraf dunia dan sangat sukar untuk ditentang. Saya memang peminat besar dirinya, dan saya harap dia tidak mempamerkan prestasi terbaiknya ketika menentang kami,” katanya mengenai pemain AC Milan itu.