‘Ini budaya kami’, penyokong Jepun bersihkan stadium Piala Dunia

Foto AFP

ARLINGTON, 15 Jun – Penyokong Jepun meninggalkan stadium dalam keadaan bersih selepas perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Belanda di Texas pada Ahad, dengan mengatakan bahawa amalan mengemas adalah sebahagian daripada “budaya Jepun”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyokong Jepun membersihkan kawasan selepas perlawanan sebagai amalan budaya, dipelajari sejak sekolah rendah dan berasaskan tanggungjawab memikirkan orang lain.
  • Mereka mengutip sampah, memasukkan ke dalam beg plastik biru; sikap itu kini dikenali di peringkat antarabangsa.
  • Ahli sosiologi: tingkah laku dipacu rasa tanggungjawab sosial dan tekanan kelompok, menjadikan mereka berusaha tidak menyusahkan orang lain.

Para penonton kekal berada di tempat duduk selepas perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 untuk memastikan stadium ditinggalkan dalam keadaan yang sama seperti mereka tiba.

Mereka fokus mengutip sampah dan memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna biru.

Tabiat itu dipelajari sejak sekolah rendah.

Penyokong Jepun, Eita Tanaka, 20, berkata, mereka sentiasa perlu memikirkan tentang orang lain.

“Orang Jepun percaya bahawa apabila kita menggunakan sesuatu tempat, kita perlu memastikan tempat itu lebih kemas apabila kita meninggalkannya berbanding ketika kita datang.

“Contohnya di sekolah, kami akan mengemas bilik darjah sendiri tanpa perlu disuruh oleh guru,” katanya.

Jepun kini membuat penampilan kelapan berturut-turut di Piala Dunia dan sikap menjaga kebersihan dalam kalangan penyokong mereka telah menjadi identiti yang dikenali di peringkat antarabangsa.

Malah, quarterback NFL, Jameis Winston turut dilihat membantu membersihkan kawasan stadium selepas perlawanan tersebut sambil memakai jersi biru Jepun yang tertera namanya di belakang.

Seorang lagi penyokong Jepun, Futo Hagiwara, berkata beliau berbangga kerana tingkah laku rakyat negaranya mendapat respon positif.

“Inilah budaya kami. Ke mana sahaja kami pergi, kami perlu membersihkan tempat itu selepas digunakan. Ia adalah cara hidup dan sikap kami,” katanya.

Ahli sosiologi dan ahli falsafah, Masachi Ohsawa, percaya bahawa gabungan rasa tanggungjawab sosial dan tekanan daripada kelompok masyarakat menjadi faktor di sebalik tingkah laku tersebut.

“Walaupun masyarakat Jepun cenderung kurang memberi perhatian kepada isu keadilan berskala besar seperti ketidaksamaan global, konflik atau perubahan iklim, mereka sangat peka terhadap pertimbangan moral pada skala yang lebih kecil.

“Apabila melibatkan individu yang berkongsi ruang yang sama atau mempunyai hubungan secara langsung dengan mereka, mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk tidak menyusahkan atau membuat orang lain berasa tidak selesa,” katanya.

Apa pun sebabnya, penyokong Jepun akan terus mengamalkan tabiat mengemas dan membersihkan kawasan yang mereka gunakan selagi pasukan mereka masih bertanding di kejohanan itu.

Perlawanan seterusnya Jepun adalah menentang Tunisia di Mexico pada Sabtu, dan Hagiwara berkata beliau gembira untuk terus menunjukkan teladan yang baik. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.