Dua dalang curi kabel ECRL ditahan di Kelantan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 15 Jun – Kelantan merekodkan empat kes kecurian kabel penghubung projek Laluan Rel Pantai Timur East Coast Rail Link (ECRL) tahun ini dengan anggaran kerugian sekitar RM20,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lelaki lingkungan 30-an dipercayai dalang ditahan bulan lalu untuk membantu siasatan.
  • Kecurian dikesan di kawasan Pasir Puteh dan hasilnya dijual di premis besi buruk.
  • Laluan ECRL belum beroperasi dan melalui banyak hutan serta kampung, menjadikan kawasan mudah terdedah.
  • Polis arahkan rondaan ditingkatkan; cadangkan pemasangan CCTV dan penambahan kawalan keselamatan oleh pihak berkaitan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai mendalangi kegiatan tersebut telah ditahan bulan lalu bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kejadian kecurian kabel itu dikesan berlaku di kawasan Pasir Puteh sebelum hasil curian dijual di premis besi buruk.

“Setakat ini kita percaya kegiatan ini berlaku kerana laluan ECRL masih belum beroperasi dan banyak kawasan melalui hutan serta kampung,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini kes sama banyak dilaporkan di Pahang dan Terengganu, namun kini turut merebak ke Kelantan.

Beliau berkata, pihak polis telah mengarahkan peningkatan rondaan di kawasan terlibat selain mencadangkan pemasangan CCTV serta penambahan kawalan keselamatan oleh pihak berkaitan.

“Untuk menangani masalah ini kita minta pihak berkaitan mengambil langkah keselamatan seperti menggajikan pengawal dan memasang CCTV, selain mempertingkatkan rondaan polis di kawasan ECRL,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan, di sini, hari ini.

Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai mengambil masa kira-kira satu jam untuk melakukan kegiatan berkenaan sebelum menjual hasil curian tersebut di premis besi buruk.

Kedua-dua suspek dipercayai aktif sejak Februari lalu dan siasatan masih diteruskan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.