Ekosistem pengkomersialan teknologi terus diperkukuh

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Ekosistem pengkomersialan teknologi terus diperkukuh bagi mempercepat peralihan Malaysia menjadi hab inovasi serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • NTIS dan MRANTI telah menyokong lebih 80 teknologi dengan nilai melebihi RM150 juta.
  • Sektor strategik dimajukan termasuk kecerdasan buatan, hidrogen, bioteknologi dan bahan termaju.
  • MTE menjadi platform utama menghubungkan pihak berkepentingan dalam ekosistem inovasi.
  • Peranan MTE merapatkan jurang antara penyelidikan dan pengkomersialan, memastikan manfaat nyata kepada ekonomi dan rakyat.

Jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, inisiatif tersebut penting bagi memastikan inovasi memberikan manfaat nyata kepada ekonomi dan rakyat.

“Usaha itu dipacu pelbagai program antaranya Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) dan Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknologi dan Inovasi (MRANTI) yang telah menyokong lebih 80 teknologi dengan nilai melebihi RM150 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2026 di sini.

Tambah Datuk Chang, beberapa sektor strategik juga sedang dimajukan antaranya kecerdasan buatan, hidrogen, bioteknologi dan bahan termaju.

Mengenai peranan MTE dalam menjayakan usaha berkenaan, beliau berkata, penganjurannya merupakan platform terbaik dalam menghubungkan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem inovasi.

Ini membantu merapatkan jurang antara penyelidikan dan pengkomersialan, sekali gus memastikan inovasi memberikan nilai sebenar kepada ekonomi dan rakyat.

Sejak dianjurkan pada tahun 2001, MTE telah berkembang menjadi salah satu acara berprestij di rantau ini bagi inovasi, penciptaan dan pengkomersialan teknologi.

Edisi tahun ini menarik penyertaan daripada lebih 10 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Poland, Iran, Thailand, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Arab Saudi dan China.

Ini mencerminkan keyakinan antarabangsa yang kukuh terhadap ekosistem inovasi negara ini.