
KUALA LUMPUR, 3 April – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) raih nilai perdagangan melebihi RM200 juta menerusi penyertaan dalam Pameran Makanan dan Minuman China ke-114 di Chengdu, China, dari 26 hingga 28 Mac lalu.
- Sembilan PKS bawah Program Gate to Global MARA pamerkan pelbagai produk makanan dan minuman termasuk dari Sabah dan Sarawak.
- Penyertaan selaras strategi mempelbagaikan pasaran eksport dengan meneroka bandar Tier 2 dan Tier 3 China seperti Chengdu.
- Acara perdagangan menjadi pintu masuk ke pasaran China Barat dan membuka peluang untuk produk makanan dan minuman premium Malaysia.
- MATRADE menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan meneroka pasaran China dengan memanfaatkan platform promosi dan sokongan agensi.
Sebanyak sembilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Program Gate to Global Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempamerkan pelbagai produk makanan dan minuman tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, penyertaan itu selaras dengan strategi mempelbagaikan pasaran eksport, khususnya dengan meneroka bandar Tier 2 dan Tier 3 di China seperti Chengdu.
“Acara perdagangan ini menjadi pintu masuk utama ke pasaran China Barat yang berkembang pesat, selain membuka peluang besar kepada produk makanan dan minuman premium Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah RM541.54 bilion.
Wilayah Sichuan muncul antara rakan dagang wilayah utama Malaysia dengan menyumbang RM18.85 bilion.
Penyertaan Malaysia turut menonjolkan kepelbagaian serta kualiti produk tempatan, termasuk minuman kesihatan, snek berasaskan buah tropika, sos sedia dimakan dan produk sarang burung.
Produk sarang burung premium paling mendapat permintaan, diikuti snek tradisional inovatif serta produk sedia masak dan sedia dimakan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna China.
MATRADE turut menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk meneroka peluang di pasaran China dengan memanfaatkan platform promosi dan sokongan yang disediakan agensi itu.