
KUALA LUMPUR, 3 April – Masyarakat dinasihat supaya sentisa berwaspada dengan sindiket skim penipuan kewangan yang sering mengambil kesempatan terhadap rakyat ketika negara berdepan cabaran dan tekanan dalam situasi ekonomi semasa.
- Simpan dalam instrumen dijamin kerajaan seperti ASB, SSPN dan Tabung Haji berbanding pelaburan berisiko tinggi.
- Pilih saluran simpanan berisiko rendah untuk melindungi modal dan membina ketahanan kewangan lebih selamat.
- Amalkan disiplin aliran tunai: bezakan keperluan dan kehendak, manfaatkan subsidi kerajaan untuk simpanan kecemasan.
- Utamakan langkah konsisten: kurangkan perbelanjaan, tingkatkan pendapatan, tambah simpanan dan kurangkan hutang.
Pakar Kewangan dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohd Edil Abd Sukor menasihatkan mereka yang ingin menambah pelaburan supaya menyimpan di dalam instrumen yang dijamin kerajaan berbanding pelaburan berisiko tinggi.
Menurut beliau, memilih saluran simpanan berisiko rendah adalah strategi paling bijak untuk melindungi modal dan membina ketahanan kewangan yang lebih selamat.
Antaranya Amanah Saham Bumiputera (ASB), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan Tabung Haji .
“Melabur pula kita lihat bahawa kita memilih di mana kita perlu meletakkan duit kita untuk pulangan lebih tinggi. Pelbagai bentuk pelaburan, tapi kita perlu berhati-hati. Di masa sekarang, ramai orang cuba mengambil kesempatan untuk menarik mereka yang mempunyai lebihan simpanan itu untuk melabur ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Dan akan berlaku contohnya, scam kewangan. Ini sangat bahaya, ” katanya ketika ditemui di Angkasapuri hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan disiplin dalam menguruskan aliran tunai harian dengan membezakan antara keperluan dan kehendak serta memanfaatkan subsidi kerajaan untuk simpanan kecemasan.
“Utamakan keperluan dan kurangkan kehendak. Bila kerajaan memberi pelbagai subsidi, rakyat Malaysia perlu mengambil kesempatan ini untuk membuat simpanan kecemasan daripada lebihan-lebihan duit yang mereka ada.
“Pada masa sama, kurangkan hutang yang tidak perlu kerana ia hanya akan memberi tekanan tambahan semasa krisis,” jelasnya.
Tegasnya, empat langkah utama perlu diamalkan secara konsisten iaitu mengurangkan perbelanjaan, meningkatkan pendapatan, menambah simpanan dan mengurangkan hutang bagi memastikan kestabilan kewangan.