Seludup beras, jubin, daging: JKDM Perak catat rampasan RM2.4 juta

FOTO BERNAMA

IPOH, 1 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan melibatkan beras, jubin, daging sejuk beku dan basikal elektrik menerusi lima operasi di beberapa lokasi sepanjang Januari dan Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan melebihi RM2.4 juta.
  • Rampasan jubin porselin: 14 palet (801 karton), nilai sitaan RM406,500, cukai dianggarkan RM557,790.
  • Rampasan 49.3 kilogram daging sejuk beku tidak diikrarkan; nilai termasuk duti dan cukai dianggarkan melebihi RM645,000.

Kesemua rampasan itu melibatkan nilai termasuk duti dan cukai melebihi RM2.4 juta.

Pengarah Kastam Negeri Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, kes pertama melibatkan rampasan jubin porselin dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 14 Januari lalu.

Sebanyak 14 palet bersamaan 801 karton jubin didapati diikrarkan secara tidak benar, dengan nilai sitaan RM406,500 dan cukai dianggarkan RM557,790.

Kes kedua pula melibatkan rampasan 765 guni beras seberat 22.9 tan di lokasi sama pada 27 Januari.

Beliau berkata, dagangan itu diikrarkan sebagai “fried grams” atau kacang dhal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Dagangan telah diikrarkan sebagai fried grams atau kacang dhal, sedangkan ia adalah beras. Nilai beras yang dianggar berjumlah RM201,661 dengan cukai terlibat sebanyak RM105,656.40,” katanya.

Dalam operasi berasingan pada 21 Januari, JKDM Perak turut merampas beras di Jalan Lenggong–Gerik selepas pemeriksaan ke atas sebuah lori mendapati muatan disyaki tidak berkastam.

Jumlah cukai dagangan bagi kes tersebut dianggarkan melebihi RM89,000.

Sementara itu, pada 12 Februari, sebanyak 49.3 kilogram daging sejuk beku yang tidak diikrarkan dirampas hasil pemeriksaan terhadap dua kontena di Pelabuhan Klang.

Nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai bagi rampasan itu dianggarkan melebihi RM645,000.

Kes terakhir melibatkan rampasan 418 unit basikal elektrik bernilai lebih RM358,000 selepas pemeriksaan ke atas dua kontena di pelabuhan sama.

Kesemua kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang kastam yang berkuat kuasa.