Piala Dunia : Sepanyol sedia galas tekanan sebagai calon juara

Pengendali skuad kebangsaan Sepanyol, Luis de la Fuente / AFP

BARCELONA, 31 Mac – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengakui selesa dengan status pasukannya sebagai antara pilihan utama menjulang Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • De la Fuente memuji Lamine Yamal: pantas, konsisten, berbakat dengan sentuhan magis; prestasi terbaik dalam permulaan karier.
  • Jurulatih enggan dedahkan sama ada Yamal akan dimasukkan dalam kesebelasan utama.
  • Sepanyol akan hadapi Mesir dan Peru sebagai pemanas badan sebelum mulakan kempen Piala Dunia menentang Cape Verde di Atlanta.
  • Beberapa pemain utama termasuk Nico Williams, Fabian Ruiz dan Mikel Merino mengalami kecederaan, namun jurulatih optimis mereka pulih.

Beliau berkata tekanan tersebut adalah cabaran yang perlu diterima, apatah lagi Sepanyol kini berada di ranking nombor satu dunia.

“Saya sukakannya. Kami menerima cabaran itu. Ia sama seperti pasukan lain seperti Perancis, England dan Brazil,” katanya menjelang aksi persahabatan menentang Mesir.

Dalam masa sama, De la Fuente memuji bintang muda Lamine Yamal yang disifatkan berada pada prestasi terbaik dalam karier awalnya, namun enggan mendedahkan sama ada pemain itu akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Dia berada pada tahap yang sangat baik, pantas, konsisten dan memiliki sentuhan magis. Sumbangannya semakin meningkat setiap hari,” katanya.

Sepanyol sebelum ini mencatat kemenangan 3-0 ke atas Serbia dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Pasukan itu dijadual berdepan Peru dalam satu lagi perlawanan pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala Dunia menentang Cape Verde di Atlanta, Amerika Syarikat.

De la Fuente turut memaklumkan beberapa pemain utama termasuk Nico Williams, Fabian Ruiz dan Mikel Merino sedang berdepan kecederaan, namun optimis mereka sempat pulih menjelang kejohanan.-AFP