Thailand sokong dialog, langkah cegah konfrontasi dengan Kemboja

Foto AFP

BANGKOK, 19 Oktober – Thailand kekal komited untuk menyelesaikan pertikaian maritim dengan Kemboja menerusi dialog bilateral menurut undang-undang antarabangsa sambil menyokong langkah-langkah mengelakkan konfrontasi , kata Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow. selepas mesyuarat kedua Suruhanjaya Pendamaian di The Hague.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat di bawah UNCLOS di Peace Palace membincangkan isu undang-undang dan teknikal; kedua-dua pihak mengemukakan bukti serta prinsip undang-undang.
  • Thailand menegaskan proses mesti fokus eksklusif pada pembatasan sempadan maritim; perkara lain di luar skop mandat suruhanjaya.
  • Proses di bawah naungan PCA bukan prosiding mahkamah dan tidak menghasilkan keputusan yang mengikat secara undang-undang.
  • Mesyuarat menekankan langkah pembinaan keyakinan termasuk elak kenyataan atau tuduhan di forum antarabangsa yang meningkatkan ketegangan.

Mesyuarat yang diadakan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dari 14 hingga 18 Okt itu berlangsung di Peace Palace, Belanda dan menumpukan kepada isu-isu undang-undang dan teknikal, dengan kedua-dua pihak mengemukakan bukti serta menjelaskan prinsip undang-undang yang menjadi asas tuntutan maritim masing-masing.

“Tumpuan utama bagi Thailand ialah proses ini mesti menumpukan secara eksklusif kepada pembatasan sempadan maritim. Perkara-perkara lain adalah di luar skop mandat suruhanjaya,” kata Sihasak yang mengetuai delegasi Thailand pada mesyuarat itu.

Beliau berkata suruhanjaya berkenaan akan mengkaji pendirian kedua-dua pihak dan boleh meminta penjelasan lanjut atau mencadangkan langkah-langkah seterusnya pada mesyuarat akan datang.

Sihasak turut menjelaskan bahawa proses itu, yang dijalankan di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA), bukannya satu prosiding mahkamah dan tidak akan menghasilkan keputusan yang mengikat dari segi undang-undang.

“Sebaliknya, ia bertujuan membantu kedua-dua pihak mencapai penyelesaian yang boleh diterima bersama berdasarkan undang-undang antarabangsa,” katanya. Satu rakaman mengenai kenyataannya telah dikongsikan oleh Kementerian Luar Thailand pada Isnin.

Beliau berkata Thailand kekal terbuka kepada sebarang cadangan, bersyaratkan kepentingan nasional serta kedaulatan negara kekal terpelihara.

Sihasak berkata Thailand secara konsisten cuba mengelak tindakan yang boleh memburukkan ketegangan dan sedia untuk melaksanakan langkah-langkah untuk membina kepercayaan bersama.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan langkah-langkah pembinaan keyakinan, termasuk mengelakkan kenyataan atau tuduhan di forum antarabangsa yang boleh menjejaskan proses berkenaan atau meningkatkan ketegangan.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu menghormati komitmen masing-masing dan memutuskannya menerusi rundingan dua hala dalam menyelesaikan pertikaian, sambil menambah bahawa Thailand akan terus bekerjasama dalam proses pendamaian itu.

Sihasak menyorot penyertaan Thailand dalam usaha menangani operasi membanteras penipuan di Kemboja sebagai contoh langkah yang diambil bagi mempromosikan kerjasama dan memperkukuh keyakinan bersama. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.