Feroz kembali perkuat benteng Harimau Malaya

Pemain JDT Muhammad Feroz Baharudin (dua kanan) menanduk bola ketika aksi menentang PDRM FC dalam saingan Piala Malaysia 2025/2026, Januari lalu./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Selepas setahun bergelut dengan igauan ngeri kecederaan ligamen lutut (ACL), tonggak pertahanan JDT, Muhammad Feroz Baharudin, kini kembali dengan misi besar iaitu mahu mempertahankan maruah negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Impian Malaysia ke Piala Asia 2027 musnah selepas pemotongan mata oleh AFC.
  • Feroz, baharu dipanggil Harimau Malaya, bertekad beri aksi terbaik dalam pertemuan terakhir Kumpulan F lawan Vietnam.
  • Sejak kembali pada 9 Januari, beliau telah membuat sembilan penampilan kompetitif termasuk empat dalam Piala Malaysia.
  • FAM dikenakan pemotongan mata kerana menurunkan pemain tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam.

Meskipun impian Malaysia ke Piala Asia 2027 sudah terkubur susulan kontroversi pemotongan mata oleh AFC, Feroz yang baharu kembali mendapat panggilan Harimau Malaya nekad memberikan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir Kumpulan F menentang Vietnam, Selasa ini.

Menurut pemain tersebut, proses pemulihan selama setahun sejak Januari tahun lalu bukan satu perjalanan mudah dan kini beliau masih dalam misi memburu tahap keyakinan tertinggi.

“Pengalaman semasa pemulihan bukan mudah, saya rasa perlu yakin dan buat lebih lagi untuk tunjukkan prestasi baik kepada jurulatih serta rakan sepasukan yang menyokong saya setiap hari,” katanya melalui video perkongsian FAM hari ini.

Sejak kembali ke padang menentang Negeri Sembilan FC pada 9 Januari lalu, pemain berusia 25 tahun ini telah melakukan sembilan penampilan kompetitif, termasuk empat aksi dalam saingan Piala Malaysia.

Jelas Feroz pertemuan menentang Vietnam di Nam Dinh pada 31 Mac ini bukan sekadar pelengkap jadual sebaliknya mahu memastikan Harimau Malaya pulang dengan bergaya.

“Selain berazam menampilkan aksi terbaik, saya tekad memastikan maruah Malaysia tidak tercalar walaupun impian ke Piala Asia 2027 telah terkubur,” katanya.

Hasrat Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut lebur selepas AFC mengenakan hukuman pemotongan mata susulan kesilapan teknikal FAM menurunkan pemain tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam sebelum ini. – BERNAMA