Eksport minyak Arab Saudi berkurangan, Malaysia masih stabil

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Sistem tenaga Malaysia kekal berdaya tahan walaupun Arab Saudi mengambil keputusan mengurangkan bekalan minyak ke negara Asia susulan konflik Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang menjejaskan aliran perdagangan di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumber import Malaysia pelbagai, tidak tertumpu kepada satu negara, memberi ruang kerajaan membuat pelarasan jika berlaku kekurangan bekalan.
  • Pengurangan bekalan Saudi memberi tekanan kepada harga minyak global, namun harga bahan api domestik masih terkawal kerana subsidi dan mekanisme apungan.
  • Tekanan inflasi wujud dalam sektor pengangkutan dan makanan akibat kos logistik meningkat, tetapi kesannya dijangka sederhana dalam tempoh terdekat.
  • Subsidi kini mencukupi menyerap kejutan jangka pendek, namun harga tinggi berpanjangan boleh menjejaskan fiskal dan memerlukan pelarasan subsidi.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Chong Siew Huay berkata, meskipun Malaysia masih mempunyai kebergantungan terhadap import minyak dari Asia Barat namun sumber import negara adalah pelbagai dan tidak tertumpu kepada sebuah negara sahaja, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan membuat pelarasan sekiranya berlaku kekurangan bekalan.

“Pengurangan bekalan oleh Arab Saudi sememangnya memberi tekanan kepada harga minyak global. Namun dalam konteks Malaysia, kesan terhadap harga bahan api domestik masih terkawal buat masa sekarang disebabkan oleh subsidi dan mekanisme apungan harga oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Terdahulu pengeksport minyak terbesar dunia, Saudi Aramco mengambil keputusan mengurangkan bekalan minyak mentah kepada pembeli di Asia untuk bulan kedua berturut-turut pada April.

Mereka hanya membekalkan minyak mentah jenis Arab Light yang dieksport dari pelabuhan Laut Merah di Yanbu kepada pelanggan khusus.

Berdasarkan data firma analitik Kpler, jumlah eksport minyak mentah Arab Saudi menyusut kepada 4.355 juta tong sehari (bpd) setakat Mac 2026 berbanding 7.108 juta bpd pada Februari lalu.

Dari sudut inflasi beliau berkata, tekanan tetap wujud terutamanya dalam sektor pengangkutan dan makanan berikutan peningkatan kos logistik tetapi kesan tersebut dijangka sederhana dalam tempoh terdekat kerana sebahagian kos masih diserap melalui dasar kerajaan.

Buat masa ini, beliau tidak menjangkakan sebarang lonjakan inflasi ketara kerana terdapat usaha daripada kerajaan untuk menstabilkan harga.

Beliau juga berpandangan, subsidi sedia ada masih mencukupi untuk menyerap kejutan harga dalam jangka pendek tetapi keberkesanan langkah itu bergantung kepada tempoh harga minyak kekal tinggi serta kedudukan fiskal kerajaan.

“Sekiranya harga kekal tinggi dalam jangka panjang, ia akan meningkatkan tekanan fiskal kerajaan dan pelarasan subsidi mungkin diperlukan,” katanya.