
KUALA NERUS, 25 Mac – Polis Kontinjen Terengganu merekodkan peningkatan kes kematian sepanjang Op Selamat ke-26 sempena Aidilfitri tahun ini.
- Enam kematian direkodkan semasa Op Selamat ke-26 berbanding satu pada Op Selamat ke-24.
- Semua kematian berlaku di jalan negeri dengan punca utama kelajuan berlebihan dan keletihan menyebabkan micro sleep.
- Polis Terengganu akan mempergiat usaha advokasi untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
Sebanyak enam kematian dicatatkan berbanding hanya satu kes pada Op Selamat ke-24 sebelum ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Suffian Sulaiman berkata, kesemua kematian yang direkodkan berlaku di jalan negeri.
Beliau memaklumkan, sikap serta kecuaian pengguna jalan raya dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya kemalangan maut.
“Dua punca yang dikenal pasti ialah kelajuan melebihi had ditetapkan dan keletihan yang menyebabkan berlakunya micro sleep,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Polis ke-219 Kontinjen Terengganu di sini.
Menurut beliau, semua kes kematian melibatkan penduduk tempatan dan bukan dalam kalangan anak perantau yang pulang berhari raya.
Sehubungan itu, Polis Terengganu akan terus mempergiat usaha advokasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
Seramai 500 pegawai dan anggota hadir memeriahkan sambutan berkenaan.
Pada majlis itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada 43 penerima daripada pelbagai jabatan.
Sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk persembahan tarian perang.