Imunisasi perkukuh perlindungan masyarakat sepanjang hayat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 April Kesedaran terhadap kepentingan imunisasi terus ditingkatkan bersempena Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan, dengan penekanan diberi kepada manfaat vaksin dalam melindungi masyarakat daripada penyakit berjangkit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program imunisasi diperluaskan kepada semua peringkat umur termasuk ibu mengandung, remaja, dewasa dan warga emas.
  • Imunisasi mencegah penularan penyakit, mengurangkan komplikasi serius dan menyumbang kepada imuniti kelompok melindungi komuniti.
  • Golongan berisiko digalakkan vaksin tambahan seperti influenza; ibu bapa mesti melengkapkan jadual imunisasi anak.
  • Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi; vaksin melalui penilaian keselamatan ketat dan kesan sampingan kebiasaannya ringan.

Pakar Perubatan Perunding Kesihatan Awam, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Doktor Salimah Haji Othman berkata, program imunisasi bukan sahaja tertumpu kepada bayi dan kanak-kanak, malah diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat termasuk ibu mengandung, remaja, dewasa dan warga emas.

Katanya, imunisasi memainkan peranan penting dalam mencegah penularan penyakit berjangkit sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa.

Pengambilan vaksin juga membantu membentuk imuniti kelompok, yang memberi perlindungan bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada komuniti secara keseluruhan.

“Golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik turut digalakkan mendapatkan vaksin tambahan seperti influenza bagi meningkatkan tahap perlindungan kesihatan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, masyarakat disarankan mendapatkan maklumat sahih berkaitan imunisasi daripada sumber rasmi seperti klinik kesihatan dan pihak berkuasa kesihatan bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham terhadap vaksin.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesan sampingan, pakar menegaskan bahawa vaksin telah melalui proses penilaian keselamatan yang ketat dan hanya memberi kesan ringan seperti demam atau bengkak di tempat suntikan.

Sehubungan itu, ibu bapa khususnya digesa memastikan anak-anak melengkapkan jadual imunisasi mengikut ketetapan bagi memastikan perlindungan optimum sejak kecil lagi.

“Tahun ini kita meluaskan imunisasi campak sehingga umur tujuh tahun. Mereka boleh mendapatkan imunisasi tambahan seperti vaksin Measles di klinik-klinik kesihatan berdekatan.

“Jadi, sebagai ibu bapa, mereka perlu mengikut jadual imunisasi kebangsaan sekiranya didapati anak tidak sihat, mempunyai penyakit kronik sebelum melangkah ke alam persekolahan,” ujarnya.

Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan disambut pada 7 Mei, mengangkat tema tahun ini iaitu Imunisasi: Perlindungan Kini, Masa Depan dan Sepanjang Usia, selaras dengan usaha berterusan memperkukuh sistem kesihatan negara dan kesejahteraan rakyat.