
PELABUHAN KLANG, 14 April – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang mematahkan cubaan sindiket membawa masuk tujuh kontena daging ayam dan itik sejuk beku bernilai lebih RM1.06 juta yang menggunakan dokumen palsu serta sijil halal meragukan.
- Pemeriksaan mendapati dokumen dipalsukan; invois dan senarai pembungkusan tidak sepadan dengan Notis Ketibaan.
- Sijil halal dan sijil kesihatan dikemukakan diragui ketulenannya, menimbulkan kebimbangan keselamatan makanan.
- Siasatan mengesan percanggahan negara asal; barangan didapati berasal dari pelbagai sumber, menunjukkan usaha terancang.
- Operasi berasingan tahan kontena daging babi tanpa permit MAQIS; barangan diserahkan kepada MAQIS, awam diminta beri maklumat.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata rampasan tersebut dilakukan pada 9 April lalu di Tapak Pemeriksaan Kontena CT2, Pelabuhan Klang Utara hasil maklumat awam dan risikan sejak Mac.
Hasil pemeriksaan fizikal mendapati enam buah kontena berisi ayam sejuk beku manakala sebuah lagi mengandungi itik sejuk beku dengan berat keseluruhan mencecah 187,800 kilogram.
“Semakan mendapati terdapat usaha terancang untuk memalsukan dokumen penting. Invois dan senarai pembungkusan tidak sepadan dengan maklumat dalam Notis Ketibaan (NOA).
“Paling membimbangkan, sijil halal yang dikemukakan diragui ketulenannya walaupun ia direka menyerupai sijil pihak berkuasa, selain Sijil Kesihatan yang dipercayai tidak sah,” katanya dalam sidang media di Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Utara, hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal juga mengesan percanggahan negara asal. Dokumen mendakwa barangan tersebut dari sebuah negara tertentu namun pemeriksaan menunjukkan ia sebenarnya datang dari pelbagai sumber lain.
“Tindakan sitaan ini kritikal bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan berbahaya seperti selesema burung (avian influenza) dan penyakit Newcastle, sekali gus menjamin keselamatan makanan dan kesihatan awam negara,” tegas beliau.
Dalam operasi berasingan semalam, AKPS turut menahan sebuah kontena berisi 25,000 kilogram daging babi sejuk beku dari Australia yang dianggarkan bernilai RM204,000.
“Penahanan itu dibuat selepas pihak pengimport dikesan gagal mengemukakan permit sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya.
AKPS kini sedang memantau rapat beberapa ejen penghantaran dan pengimport yang dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket pemalsuan dokumen ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan penglibatan pihak tempatan dalam aktiviti ini. Kesemua barangan sitaan telah diserahkan kepada MAQIS untuk siasatan lanjut dan tindakan pelupusan,” tambahnya lagi.
Beliau menyeru orang ramai agar terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat demi memelihara kedaulatan dan keselamatan sempadan negara.