Krisis tenaga global ‘loceng amaran’, perlu tindakan bersama – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah

IPOH, 14 April- Kerajaan dan rakyat perlu bersatu dan mengambil langkah persediaan awal serta mengamalkan penggunaan tenaga dan perbelanjaan secara berhemah dalam menghadapi cabaran besar dan kritikal negara akibat krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jadikan krisis sebagai loceng amaran untuk merangka tindakan proaktif mengurangkan kebergantungan bahan api fosil.
  • Percepatkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui; ia bukan pilihan tetapi keperluan strategik jangka panjang.
  • Galakkan pembangunan kemudahan tenaga alternatif seperti solar, hidro dan kenderaan elektrik.
  • Pelihara perpaduan dan keharmonian kerana konflik boleh menjejaskan kestabilan sosial dan emosi masyarakat.

Sultan Nazrin bertitah keadaan semasa wajar dijadikan isyarat awal untuk merangka tindakan lebih proaktif khususnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil melalui pembangunan tenaga alternatif.

“Kerajaan beta tidak boleh berpeluk tubuh, bersikap penonton yang pasif. Sebaliknya perlu melihat krisis yang sedang berlaku sebagai ‘loceng amaran’ untuk merintis langkah-langkah proaktif.

“(Ini) termasuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta membangunkan kemudahan bagi menggalakkan penggunaan tenaga alternatif seperti solar, hidro dan kenderaan elektrik,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegaskan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik jangka panjang yang perlu dipercepatkan.

Baginda turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan budaya berjimat cermat termasuk mengawal penggunaan elektrik, bahan api serta mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan harian.

Baginda mengingatkan bahawa konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi global, malah boleh menjejaskan kestabilan sosial dan emosi masyarakat, justeru perpaduan dan keharmonian negara perlu terus dipelihara.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, baginda berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat Pasukan Gerakan Am Briged Utara, Ulu Kinta.