
KOTA KINABALU, 14 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi serbuan Op Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak, pada Isnin.
- Dua kenderaan menggunakan tangki tambahan IBC 1,000 liter, dianggarkan 800 liter setiap satu, untuk pemindahan haram dengan hos dan pam elektrik diubahsuai.
- Dua individu tempatan lingkungan 30-an diperiksa gagal mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan.
- Rampasan bernilai RM22,745 termasuk kenderaan, tangki IBC, pam, hos dan diesel; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, operasi dijalankan hasil risikan sebelum sepasukan anggota penguat kuasa digerakkan ke lokasi.
Pemeriksaan pada pukul 12.05 tengah hari itu mendapati, dua kenderaan diparkir di pam minyak dan disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel secara terancang.
“Kedua-dua kenderaan menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, dengan anggaran 800 liter diesel bagi setiap satu.
“Siasatan awal mendapati sindiket mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang diubah suai, dipercayai bagi tujuan pengumpulan dan pengedaran secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahril Nizam berkata, dua individu tempatan berusia lingkungan 30-an turut diperiksa, namun gagal mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan.
Nilai rampasan dianggarkan RM22,745 melibatkan dua kenderaan, tangki IBC, pam elektrik, hos serta minyak diesel.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN menegaskan sebarang penyelewengan barang kawalan bersubsidi adalah kesalahan serius dan tidak akan dikompromi, selain menyeru orang awam menyalurkan maklumat bagi membantu penguatkuasaan.