Lebih RM1.8 juta disalur sokong penganjuran dua kejohanan sukan bertaraf dunia

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berucap pada majlis perasmian Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia di ibu negara. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 April – Lebih RM1.8 juta diperuntukkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyokong penganjuran dua kejohanan sukan bertaraf dunia yang bakal berlangsung di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM1 juta diluluskan melalui Geran Padanan Sukan bagi penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw bulan depan.
  • Peruntukan tambahan RM825,000 disalur untuk Piala Dunia Berbasikal Trek yang berlangsung 24 hingga 26 April.
  • Geran Padanan Sukan diberikan kepada persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan dengan bantuan secara tuntutan bayaran balik.
  • Penganjuran dua kejohanan berprestij penting untuk memperkasa sukan tempatan, melatih bakat dan meningkatkan prestasi atlet negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kejohanan itu termasuk Piala Dunia Sepak Takraw dan Piala Dunia Berbasikal Trek.

“Kita meluluskan RM1 juta melalui Geran Padanan Sukan bagi penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw pada 16 sehingga 23 Mei depan di Stadium Titiwangsa.

Peruntukan tambahan RM825,000 turut disalur untuk penganjuran Piala Dunia Berbasikal Trek yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April ini di Velodrom Nasional, Nilai” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia di sini.

Geran Padanan Sukan (GPS) diberikan KBS bagi tujuan penganjuran program sukan persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan.

Kaedah pemberian bantuan adalah secara tuntutan bayaran balik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran dua kejohanan berprestij itu amat penting bagi memperkasa sukan tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Pada masa sama, ia menjadi platform terbaik dalam melatih bakat dan meningkatkan prestasi atlet negara.