
KUALA LUMPUR, 14 April – Peningkatan kos penganjuran sehingga 30 peratus menjadi antara cabaran utama buat Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam memastikan kelancaran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa di sini bulan depan.
- Kos penganjuran meningkat disebabkan konflik di Asia Barat menjejaskan pengangkutan dan bahan api.
- Keadaan kini dipantau dan dianggap terkawal, tetapi kenaikan mendadak dapat memberi impak besar kepada kos keseluruhan.
- Bantuan kerajaan mengurangkan beban kewangan PSM, termasuk pengumuman RM1 juta dan tambahan RM2 juta.
- Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bakal berlangsung dari 16 hingga 23 Mei, persiapan terus disusun oleh PSM.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kenaikan kos disebabkan konflik di Asia Barat itu melibatkan beberapa komponen penting antaranya, pengangkutan dan bahan api.
“Setakat ini, keadaan masih dalam pemantauan dan terkawal. Kesan itu ada, tetapi tidak terlalu besar. Namun, jika berlaku kenaikan mendadak, ia akan memberi impak kepada keseluruhan kos penganjuran,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia di sini.
Jelasnya lagi, dana yang terus disalurkan kerajaan memberi kelegaan kepada pihaknya dalam menganjurkan kejohanan yang bakal berlangsung dari 16 hingga 23 Mei ini.
“Penganjuran Piala Dunia itu memerlukan kos yang tinggi. Justeru, pengumuman RM1 juta oleh Menteri Belia dan Sukan serta tambahan RM2 juta oleh Perdana Menteri sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan PSM,” katanya.