Status ART kabur, pengeksport berdepan ketidaktentuan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Status Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang belum jelas telah meningkatkan ketidaktentuan landskap perdagangan dua hala khususnya bagi pengeksport tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan Seksyen 301 AS terhadap kapasiti pengeluaran dan dakwaan buruh paksa sedang berjalan, dengan sesi pendengaran dijangka beberapa minggu lagi.
  • Ketidaktentuan tarif menyukarkan pengeksport untuk runding harga dan menekan margin keuntungan pengeluar tempatan.
  • Kerajaan menilai langkah AS termasuk tarif 10 peratus, manakala Malaysia masih belum meratifikasi Perjanjian ART yang ditandatangani tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif yang telah diperkenalkan oleh Presiden AS Donald Trump itu telah mencetuskan kebimbangan baharu terhadap potensi sekatan serta tarif tambahan.

“Tekanan terhadap Malaysia masih wujud antaranya melalui pelaksanaan Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974. Siasatan kini sedang dijalankan, termasuk melibatkan isu kapasiti pengeluaran dan dakwaan penggunaan buruh paksa di kilang tempatan.

“Siasatan ini masih berlangsung dan sesi pendengaran dijangka diadakan dalam beberapa minggu akan datang. Oleh itu, ketidaktentuan dalam kalangan pengeksport Malaysia ke pasaran AS masih berterusan buat masa ini,” katanya kepada pemberita RTM.

Tambah beliau, ketidaktentuan tarif terus memberi cabaran kepada pengeluar tempatan untuk membuat rundingan harga selain memberi tekanan untuk meningkatkan margin keuntungan.

Katanya lagi penurunan kadar tarif dijangka dapat mengurangkan tekanan terhadap pengeluar tempatan, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengeksport.

“Kadar tarif yang lebih rendah akan membantu mengurangkan tekanan. Kami juga menjangkakan eksport ke AS akan bertambah baik, dan setakat ini aliran perdagangan masih berjalan. Impaknya dilihat masih terkawal” ujar beliau.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, memaklumkan Malaysia sedang menilai perkembangan dasar terkini di AS termasuk mengkaji skop serta implikasi susulan tindakan pentadbiran AS yang mengumumkan pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara.

Menurut beliau, Malaysia juga masih belum meratifikasi ART walaupun perjanjian itu telah ditandatangani pada Oktober tahun lalu.