
KUALA LUMPUR, 22 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan penjualan lima tan mangga Harum Manis, dengan nilai sehingga RM150,000 menerusi program Jualan dan Promosi Harumanis.
- FAMA menyasarkan penjualan lima tan mangga Harum Manis bernilai sehingga RM150,000 melalui program Jualan dan Promosi Harumanis.
- Program di Busana @ Menara MARA bertujuan menarik pembeli sekitar Kuala Lumpur.
- FAMA menyediakan 11 lot jualan melibatkan usahawan dari Perlis, Kedah dan Selangor.
- Penjual menawarkan penghantaran, bekerjasama dengan syarikat kurier supaya buah sampai dalam keadaan segar dan berkualiti.
Program jualan yang berlangsung lima hari dari 20 hingga 24 April itu diadakan di bangunan Busana @ Menara MARA, di sini.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, daripada jumlah sasaran itu, sebanyak 40 peratus telah berjaya dicapai sepanjang penganjurannya sejak Isnin.
“Ini merupakan kali keempat kita mengadakan promosi di bangunan Menara MARA, khususnya bagi menarik pembeli di sekitar Kuala Lumpur. Kali ini, program berlangsung selama empat hari dan kita menyasarkan jualan sebanyak lima tan.
“Sepanjang empat hingga lima hari ini, orang ramai boleh mendapatkan bekalan terus daripada penjual kami yang terdiri daripada para petani. Jika bernasib baik, pengunjung juga berpeluang menikmati harga diskaun lebih menarik,” katanya selepas merasmikan program Jualan dan Promosi Harumanis di bangunan Busana @ Menara MARA di sini hari ini.
Tambah beliau, FAMA menyediakan sebanyak 11 lot jualan melibatkan usahawan dari Perlis, Kedah dan Selangor merangkumi jualan di dalam serta perkarangan bangunan.
Para penjual turut menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan, dan aspek tersebut diberi perhatian khusus bagi memastikan buah sampai kepada pengguna dalam keadaan terbaik.
“Setakat ini, kita menjalinkan kerjasama yang baik dengan syarikat-syarikat penghantaran dan mereka telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
“Secara keseluruhannya, tiada masalah besar. Pada peringkat awal dahulu mungkin terdapat sedikit kekangan, khususnya ketika pelaksanaan (jualan) secara dalam talian. Namun kini, mereka telah menemui kaedah yang lebih berkesan dan penghantaran dapat dibuat dalam tempoh tiga hari,” katanya lagi.
Beliau berharap agar program ini dapat membantu serta memberi impak yang positif kepada usahawan tani dengan meningkatkan pendapatan melalui akses pasaran, sekali gus memastikan pengguna memperoleh bekalan mangga Harum Manis gred premium yang segar dan berkualiti.