
PUTRAJAYA, 18 Mac– Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac 2026 merupakan persinggahan sementara (port of call) bagi urusan logistik.
- Persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan perkara baharu, amalan dalam hubungan pertahanan dan pelayaran antarabangsa.
- Aktiviti ini sebahagian daripada diplomasi pertahanan untuk meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
- Tujuan utama port of call ialah membolehkan ulang bekal, penyelenggaraan ringan dan rehat anak kapal sebelum meneruskan pelayaran.
- Malaysia ada prosedur dan dasar jelas; setiap permohonan berlabuh mesti melalui saluran rasmi dan mendapat kelulusan Kerajaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah perkara baharu, malah telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
Aktiviti itu merupakan sebahagian daripada diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
“Tujuan utama port of call adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing, sama ada di pelabuhan komersial mahupun pangkalan laut.
“Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Sepanjang 2025, Malaysia telah menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 buah negara melalui port of call.
Antara negara yang terlibat termasuklah Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehadiran dua buah kapal Tentera Laut AS, USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di Pulau Pinang.