Polis rampas dadah lebih RM1.5 juta, tiga termasuk wanita ditahan

Gambar hiasan

GEORGE TOWN, 11 Mac — Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam beberapa serbuan pada 9 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan besar MDMA, ketamin dan pil Erimin 5 dalam tiga serbuan, termasuk lebih lima kilogram MDMA di sebuah kediaman.
  • Nilai keseluruhan dadah dianggarkan lebih RM1.5 juta dan mampu digunakan sehingga 30,000 kali penggunaan.
  • Polis menyita dua kenderaan, barang kemas dan wang tunai bernilai lebih RM224,000; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut itu membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun.

Beliau berkata serbuan pertama di kawasan parkir kenderaan membawa kepada penahanan seorang lelaki serta rampasan 120 paket dadah jenis MDMA seberat lebih tiga kilogram.

“Susulan itu, polis menahan dua lagi suspek di lokasi sama serta menemui lebih dua kilogram MDMA di dalam sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata serbuan ketiga di sebuah kediaman di Seberang Perai Utara pula menemukan lebih lima kilogram MDMA, 515 gram ketamin serta pil Erimin 5.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta dan dipercayai mampu digunakan sehingga 30,000 kali penggunaan.

Beliau berkata polis turut menyita dua kenderaan, barang kemas serta wang tunai dengan nilai keseluruhan lebih RM224,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.