
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Aktiviti pelebaran jalan bagi menangani masalah kesesakan trafik dari Jalan Kuchai Maju dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dijangka bermula Ogos 2026.
- Projek dijangka siap pada 2028 selepas tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
- Kawalan dan penyuraian trafik diperkukuh melalui penempatan anggota polis trafik di lokasi strategik dan papan tanda elektronik masa nyata.
- PLUS jalankan projek perintis MLFF menggunakan ANPR bagi kutipan tol tanpa kenderaan perlu berhenti; kerajaan tingkatkan integrasi pengangkutan awam.
Menurut Timbalan Kementerian Kerja Raya Datuk Hasbi Habibollah, projek yang akan mengambil masa selama 18 bulan ini dijangka siap pada 2028.
“Selain itu, kawalan dan penyuraian trafik di lapangan turut diperkukuh melalui penempatan anggota polis trafik secara berkala di lokasi-lokasi strategik. Ia bagi mengurangkan kesan kesesakan khususnya di laluan susur masuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban,” katanya.
Tambahnya, penggunaan papan tanda elektronik akan dipergiat bagi menyalurkan maklumat keadaan trafik secara masa nyata kepada pengguna jalan raya agar mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih efisien.
“Pihak PLUS Malaysia Berhad kini sedang melaksanakan projek perintis Sistem Pembayaran Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang menggunakan teknologi pengecaman plat nombor automatik (ANPR) bagi membolehkan kutipan tol dilaksanakan tanpa keperluan kenderaan berhenti di plaza tol.
Projek ini sedang dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih di rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di kawasan sekitar Juru dan Senai,” katannya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya lagi, kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian melalui pengukuhan sistem pengangkutan awam serta peningkatan integrasi rangkaian rail, bas serta kemudahan perbatuan pertama dan terakhir.