Krisis Asia Barat dorong ASEAN+3 tingkat daya tahan tenaga, rantaian bekalan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mei Negara ASEAN+3 menegaskan keperluan memperkukuh daya tahan tenaga dan rantaian bekalan susulan ketegangan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • ASEAN+3 komited memperkuat kerjasama serantau bagi menghadapi kejutan luaran dan memastikan aliran perdagangan serta pelaburan kekal terbuka dan berdaya tahan.
  • Kumpulan itu bimbang kesan konflik boleh meluas melangkaui tenaga kepada rantaian bekalan, harga makanan, logistik, pelancongan dan aliran kiriman wang.
  • ASEAN+3 menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan termasuk WTO, sambil memperkukuh keselamatan tenaga dan ketahanan rantaian bekalan.

Menerusi kenyataan bersama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 ke-29 di Samarkand, Uzbekistan, kumpulan itu menyatakan komitmen untuk mempertingkat kerjasama serantau bagi menghadapi kejutan luar yang semakin meningkat.

“Konflik yang berlarutan berpotensi memberi kesan lebih meluas melangkaui sektor tenaga, termasuk rantaian bekalan, harga makanan, logistik, pelancongan serta aliran kiriman wang.

“Pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana manakala inflasi diramal meningkat, didorong kenaikan harga minyak dan gas serta keadaan kewangan global yang lebih ketat,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, ASEAN+3 menegaskan kepentingan mengekalkan aliran perdagangan dan pelaburan yang terbuka serta memastikan rantaian bekalan kekal berdaya tahan.

Selain itu, ASEAN+3 turut menyatakan sokongan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras.

“ASEAN+3 juga komited untuk terus memperkukuh daya tahan rantau terhadap kejutan luar termasuk dalam aspek keselamatan tenaga dan rantaian bekalan,” tambah kenyataan itu.