Malaysia Marathon 2026 sasar 25,000 peserta

Poster rasmi Malaysia Marathon 2026

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Seramai 25,000 peserta dari 69 negara dijangka mengambil bahagian dalam Malaysia Marathon 2026, sekali gus meletakkan acara itu sebagai antara penganjuran marathon komuniti terbesar di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dianjurkan sempena Hari Merdeka, acara pertama berskala besar yang dianjurkan sepenuhnya oleh penganjur tempatan dengan piawaian antarabangsa.
  • Malaysia Marathon gabungkan elemen sukan, pelancongan, budaya dan hiburan untuk pengalaman bertaraf dunia.
  • Ciri unik termasuk pengibaran Jalur Gemilang sepanjang dua kilometer serta lapan persembahan hiburan dan lima pancaragam terbaik.
  • Empat kategori larian (42km, 21km, 10km, 5km) dengan laluan diiktiraf World Athletics; pendaftaran melalui laman web dan aplikasi MM.

Dianjurkan sempena sambutan Hari Merdeka ke-69, Malaysia Marathon bakal mencipta sejarah sebagai acara marathon komuniti berskala besar pertama yang dianjurkan sepenuhnya oleh penganjur tempatan dengan piawaian antarabangsa.

Presiden Malaysia Marathon, Eddy Casmady berkata, acara itu bukan sekadar platform perlumbaan, sebaliknya menggabungkan elemen sukan, pelancongan, budaya dan hiburan dalam satu pengalaman bertaraf dunia.

“Malaysia Marathon turut mencipta keunikan tersendiri dengan menampilkan rekod baharu pengibaran Bendera Malaysia sepanjang dua kilometer di laluan acara, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme bersempena Hari Merdeka.

“Selain perlumbaan, acara ini turut dimeriahkan dengan lapan persembahan hiburan di sepanjang laluan, lima pancaragam terbaik serta konsert bermula seawal pukul 9 pagi,” katanya.

Acara berkenaan menawarkan empat kategori larian iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km dengan laluan diiktiraf World Athletics.

Perlumbaan bermula di Pavilion Kuala Lumpur dan berakhir di KLCC, dengan 95 peratus laluan menggunakan lebuh raya utama termasuk AKLEH dan SUKE.

Malaysia Marathon turut memperkenalkan penggunaan sistem pengesahan Face ID bagi pendaftaran serta pengambilan nombor bib sendiri untuk meningkatkan integriti acara.

Sebagai galakan kepada atlet tempatan, ganjaran RM50,000 ditawarkan kepada peserta Malaysia yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 42km dan 21km.

Pendaftaran Malaysia Marathon 2026 dibuka bermula hari ini menerusi laman web rasmi dan aplikasi MM.