Lima juara dunia rebut Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2025

(Dari kiri) Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Industri di Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Norazrin Norsyam Yee; Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM 2025, Hazreen Mubarak pada sidang media Anugerah SAM di Stadium Nasional Bukit Jalil / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Persaingan merebut gelaran Anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 dijangka sengit apabila barisan juara dunia mendominasi senarai pencalonan akhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Calon terunggul termasuk Tan Cheong Min, pemenang tiga emas Kejohanan Dunia di Brazil, dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juara dunia.
  • Bonnie Bunyau Gustin tumpuan kategori Atlet Para, berusaha mempertahankan gelaran selepas kejuaraan dunia keempat berturut turut.
  • Presiden SAM sifatkan pemilihan sangat mencabar kerana semua lima terbaik merupakan juara dunia; 13 kategori, hadiah keseluruhan RM65,000.

Anugerah dijadualkan berlangsung pada 13 Mei ini di ibu negara bakal menyaksikan atlet wushu negara, Tan Cheong Min, muncul antara calon pilihan selepas kejayaan luar biasa merangkul tiga pingat emas di Kejuaraan Dunia di Brazil.

Beliau bakal dicabar hebat oleh gandingan beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang melakar sejarah menjuarai Kejuaraan Dunia di Perancis tahun lalu.

Turut tersenarai dalam kelompok elit tersebut ialah Emma Firyana Saroji (boling padang), Muhd Rafiq Ismail (tenpin boling), serta Mohd Abdul Latif Maxzakir.

Bagi kategori Atlet Para Terbaik, jaguh angkat berat dunia, Bonnie Bunyau Gustin, terus menjadi tumpuan dalam misi mempertahankan gelaran selepas merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat berturut-turut.

Beliau bakal bersaing dengan nama-nama besar seperti Cheah Liek Hou (badminton para) dan Abdul Latif Romly (olahraga para), selain cabaran daripada perenang para, Abdul Halim Mohammad serta Carmen Lim.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap menyifatkan proses pemilihan kali ini sebagai antara yang paling mencabar dalam sejarah penganjuran anugerah berkenaan.

“Situasi pemilihan tahun ini agak rumit kerana berdasarkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), kesemua calon yang tersenarai dalam kelompok lima terbaik merupakan juara dunia dalam disiplin masing-masing,” katanya pada sidang media khas.

Sebanyak 13 kategori akan dipertandingkan pada edisi kali ini dengan jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan mencecah RM65,000.

Pemenang bagi kategori utama Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Sebagai rekod, edisi lalu menyaksikan Nur Farah Ain Abdullah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik, manakala Bonnie Bunyau Gustin mengungguli kategori atlet para.