SCORE Marathon 2026 tarik penyertaan 50,000 peserta

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang pada sidang media SCORE Marathon 2026 di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Penganjuran SCORE Marathon 2026 AIA Vitality bakal mencipta sejarah tersendiri sebagai acara larian terbesar di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • SCORE tambah 300 slot susulan permintaan menggalakkan.
  • Penganjur menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi edisi ini.
  • Menteri Chang Lih Kang buat penampilan sulung dalam separuh maraton dan mahu memotivasikan komuniti larian.
  • Acara di Dataran Putrajaya pada 18-19 Julai menampilkan empat kategori dan pelari elit serantau.

Seramai 50,000 peserta dijangka mengambil bahagian dalam edisi akan datang di Putrajaya pada 18 dan 19 Julai ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, berikutan permintaan yang menggalakkan, pihaknya menyediakan tambahan 300 slot bagi menyertai larian berkenaan.

Beliau berkata acara tersebut turut menyasarkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara larian terbesar di negara ini.

“Pencapaian 50,000 pelari ini merupakan detik penting bagi kami, namun yang lebih utama, ia mencerminkan bagaimana budaya larian di Malaysia telah berkembang,” katanya pada sidang media SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality di Lumi Tropicana di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang, dijangka mencuri tumpuan apabila bakal membuat penampilan sulung dalam acara separuh maraton.

“Tahun ini, saya mahu mencabar diri dengan menyertai separuh marathon dan menamatkan larian dengan selamat.

“Selain itu, beliau berharap dapat memberi motivasi kepada rakan-rakan dalam komuniti larian untuk mula berlari atau melakukan sukan lain demi gaya hidup sihat,” katanya.

Acara larian yang dijadual berlangsung di Dataran Putrajaya itu akan mempertandingkan empat kategori utama – 5 kilometer (km), 10km, separuh maraton (21km) dan maraton penuh (42km).

Edisi kali ini akan menampilkan barisan pelari elit serantau, termasuk pemegang rekod kebangsaan separuh maraton Malaysia, K. Prabudass serta pelari Singapura, Soh Rui Yong.