- Empat lelaki dan seorang wanita ditahan, umur 23 hingga 55 tahun.
- Serbuan dilakukan di rumah teres Taman Puncak Bertam, Taman Kenanga dan Taman Satu Krubong.
- Rampasan termasuk cecair, serbuk disyaki MDMA, pil ekstasi, pil Erimin 5 dan ketamin.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BUKIT BERUANG, 11 Mac- Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM86.78 juta menerusi tiga siri serbuan ke atas tiga makmal pemprosesan dan penyimpanan dadah di sekitar Melaka Tengah pada awal Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis turut menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 55 tahun.
Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam yang dijadikan makmal pemprosesan dadah, membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita iaitu suspek pertama hingga ketiga.
Susulan penahanan berkenaan, dua lagi serbuan dijalankan di Taman Kenanga serta Taman Satu Krubong dan menahan suspek keempat dan kelima.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah cecair, serbuk disyaki MDMA, pil ekstasi, pil Erimin 5 dan ketamin. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM86.78 juta. Suspek pertama dan kedua berperanan sebagai kordinator , suspek ketiga sebagai penjaga stor, manakala suspek keempat dan kelima sebagai “runner” sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka, di sini.
Menurutnya lagi, saringan awal ujian air kencing mendapati suspek kelima positif dadah methamphetamine, manakala suspek pertama dan keempat mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.
Dadah-dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan ke pusat-pusat hiburan sekitar Melaka, yang boleh merosakkan sehingga 1.1 juta pengguna.
Suspek pertama hingga ketiga direman sehingga 12 Mac manakala suspek keempat dan kelima direman sehingga 13 Mac.
Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.