Pelajar Pulau Pinang di Jordan dilapor selamat

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid

BAYAN LEPAS, 11 Mac – Kira-kira 80 pelajar Pulau Pinang yang sedang menuntut di Jordan dilaporkan berada dalam keadaan selamat, walaupun berlaku situasi tegang di Asia Barat ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Duta Besar Malaysia ke Jordan memaklumkan keadaan pelajar kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
  • Pelajar dinasihatkan hanya keluar untuk menghadiri kuliah dan mengelakkan berada di kawasan ketenteraan.
  • Keputusan membawa pulang pelajar akan dibuat oleh Kementerian Luar berdasarkan laporan terkini daripada kedutaan.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Mohd Nasri Abdul Rahman.

Menurut beliau, para pelajar turut dinasihatkan supaya hanya keluar bagi tujuan menghadiri kuliah serta mengelakkan berada di kawasan ketenteraan.

Tambahnya, Kedutaan Malaysia di Jordan sentiasa berhubung dengan wakil pelajar bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terus terjamin sepanjang tempoh tersebut.

“Pejabat kedutaan sentiasa berhubung dengan wakil pelajar termasuk anak-anak Pulau Pinang yang berada di Amman, Irbid dan Mu’tah bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dalam tempoh genting ini.

“Setakat ini mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan masih menghadiri kuliah seperti biasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sebarang keputusan untuk membawa pulang pelajar ke tanah air hanya akan diputuskan oleh Kementerian Luar Negeri berdasarkan laporan terkini daripada pihak kedutaan.

Datuk Dr Mohamad berkata demikian ketika ditemui pada Program Agihan Zakat Nur Ramadan 2026 di Masjid Al-Mustaghfirin, Bayan Lepas.