SPRM reman pemandu lori beri sogokan

Foto Fail /Bernama

SHAH ALAM, 10 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pemandu lori kerana disyaki menawarkan wang rasuah kepada anggota polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang berhubung pemilikan dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman lima hari sehingga 14 Mac 2026 dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.
  • Suspek dipercayai memberi wang sogokan kepada anggota MPV semasa pemeriksaan selepas ditemukan memiliki dua paket ganja kira-kira 2 gram.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009; sabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minima lima kali ganda atau RM10,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga 14 Mac 2026 terhadap suspek berusia lingkungan 20-an itu dikeluarkan oleh Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Suspek terdahulu ditahan di Pejabat SPRM Selangor semalam selepas hadir untuk memberikan keterangan berkaitan kes berkenaan.

Siasatan awal, suspek dipercayai memberikan wang sogokan kepada seorang anggota Unit Kereta Peronda (MPV), IPD Shah Alam, semasa satu pemeriksaan dilakukan di sekitar bandar raya ini.

Tindakan tersebut didakwa sebagai dorongan agar anggota penguat kuasa terbabit tidak mengambil tindakan terhadap suspek yang ditemukan memiliki dua paket dadah jenis ganja seberat kira-kira 2 gram.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.