PRISMA bantu kerajaan urus isu perpaduan secara lebih berkesan

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran / FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) diwujudkan sebagai antara usaha kerajaan menangani serta mengurus isu berkaitan perpaduan secara lebih berkesan dan tersusun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan e-Sepakat melalui Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) diperluas untuk memudahkan laporan isu sensitif secara sistematik dan bersepadu.
  • Data dari sistem akan diintegrasikan dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk memperkukuh pengurusan maklumat perpaduan.
  • Laporan kes menunjukkan kluster tertinggi termasuk tadbir urus, keselamatan, agama, politik, kenyataan kebencian dan perkauman.
  • Kementerian tidak akan berkompromi terhadap pihak yang mencetuskan ketegangan dan akan melipatgandakan usaha memupuk keharmonian pelbagai kaum.

Pada masa sama, penggunaan sistem e-Sepakat melalui Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) turut diperluaskan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan laporan berkaitan isu sensitif masyarakat secara lebih sistematik dan bersepadu.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, bagi memperkukuh pengurusan maklumat berkaitan isu perpaduan, data daripada sistem berkenaan akan turut diintegrasikan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Pada Januari, sebanyak 99 kes diterima, manakala 69 kes pada Februari, dan sehingga hari ini pada Mac terdapat lima laporan diterima. Antara kluster kes tertinggi adalah tadbir urus dan pembangunan, diikuti keselamatan sebanyak 36 kes, 30 kes berkaitan agama, lapan kes berkaitan politik, 10 kenyataan berbaur kebencian dan empat kes berkaitan perkauman,” katanya ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda di Dewan Negara, hari ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan berkaitan perpaduan.

Sebaliknya, kementerian akan terus melipatgandakan usaha bagi memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.