
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kewujudan syarikat multinasional (MNC) tidak wajar dianggap sebagai ancaman kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
- MNC sebagai rakan strategik dan pemangkin memacu PKS tempatan menyertai rantaian nilai global melalui teknologi dan bimbingan.
- Insentif cukai berasaskan hasil mulai Mac 2026 mensyaratkan komitmen MNC memperkukuh rantaian bekalan domestik untuk menikmati kelebihan fiskal.
- Sinergi antara MNC dan PKS mewujudkan ekosistem menang-menang; PMKS dapat teknologi, kontrak jangka panjang dan kepentingan dipelihara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sebaliknya MNC merupakan rakan strategik dan menjadi pemangkin untuk memacu syarikat tempatan menyertai rantaian nilai global.
Jelasnya, sinergi antara MNC dan PKS akan diperkasa untuk mewujudkan ekosistem perniagaan bersifat menang-menang antara kedua-dua pihak.
“MNC bertindak sebagai penyedia teknologi dan mentor kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang dilantik sebagai pembekal strategik.Selain itu, melalui kerangka insentif baharu yang bermula Mac 2026, insentif cukai kepada pelabur besar akan dilaksanakan berdasarkan pencapaian hasil atau outcome based.
“Bagi menikmati insentif tersebut, MNC perlu menunjukkan komitmen dalam memperkukuh rantaian bekalan domestik, sekali gus mewujudkan ekosistem yang saling menguntungkan dan memperoleh kelebihan fiskal, manakala Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendapat akses kepada teknologi serta kontrak jangka panjang,” katanya demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di Parlimen.
Senator Datuk Seri Dr. Mujahid meminta menyatakan manfaat sebenar perjanjian perdagangan terkini kepada PKS tempatan bagi mengelakkan dominasi syarikat multinasional.
Sim juga menegaskan kepentingan PKS akan terus dipelihara dalam ekosistem perdagangan negara selaras usaha memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.