
PUTRAJAYA, 9 Mac – Orang ramai diseru supaya tidak memainkan isu sensitif berkaitan institusi diraja, kaum dan agama (3R) yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat serta keharmonian negara.
- Penyebaran hantaran perkauman dan ekstrem di media sosial kerap mencetus ketegangan.
- Segelintir pihak mencetus provokasi untuk alihkan perhatian dari pencapaian Kerajaan MADANI.
- Perpaduan kaum penting untuk kestabilan, pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.
- Kerajaan tidak akan berkompromi; tindakan tegas akan diambil terhadap penghasut yang memecahbelahkan masyarakat.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata kebelakangan ini hantaran dan ulasan berunsur perkauman serta ekstrem dilihat semakin kerap disebarkan di media sosial sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata tindakan segelintir pihak yang cuba mencetuskan provokasi dan menyebarkan naratif kebencian berasaskan perkauman hanya akan mengganggu usaha memperkukuh perpaduan rakyat.
“Apabila tiada isu besar dipolemikkan terhadap pencapaian Kerajaan MADANI, segelintir pihak cuba mengalih perhatian rakyat dengan mencetuskan provokasi dan memainkan sentimen perkauman sempit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ramanan berkata Malaysia sebagai negara majmuk yang dihuni pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan telah lama membuktikan bahawa perbezaan latar belakang bukan penghalang untuk rakyat hidup aman serta saling menghormati.
Beliau berkata kestabilan perpaduan itu penting bagi memastikan negara terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat, termasuk dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Menurutnya, pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyumbang kepada kestabilan dasar sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap negara.
Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM426.7 bilion pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyokong penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Ramanan berkata pelbagai inisiatif juga dilaksanakan bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta rasionalisasi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 pada harga RM1.99 seliter.
Sehubungan itu beliau mengingatkan kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menghasut atau memecahbelahkan masyarakat dengan memperalatkan isu 3R.
Kerajaan, katanya, tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keamanan serta kesejahteraan rakyat.