
SUNGAI PETANI, 9 Mac– Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung denda dan penggantungan tujuh pemain negara oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak.
- KBS akan meneliti langkah susulan yang perlu dilaksanakan selepas keputusan, bagi memastikan tindakan seterusnya teratur dan mematuhi lunas perundangan antarabangsa.
- Pembangunan bola sepak tidak boleh terhenti; semangat rakyat mesti dipelihara dan pelan strategik dirangka untuk memperkukuh kemajuan sukan negara.
- FAM, MSN dan pihak berkepentingan perlu berganding bahu melaksanakan program berimpak tinggi seperti NFDP untuk memperkasakan pembangunan akar umbi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum keputusan tersebut dan menegaskan bahawa FAM telah melalui proses perundangan yang termaktub dalam lunas undang-undang antarabangsa.
“Proses undang-undang itu telah pun berjalan dan kita menerima keputusan yang dibuat. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti langkah susulan yang perlu dilaksanakan.”
“Apa pun, pembangunan bola sepak tidak boleh terhenti di sini dan semangat rakyat terhadap sukan ini tidak boleh luntur. Kita akan merangka pelan untuk melihat bagaimana bola sepak negara mampu bergerak ke hadapan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan MADANI peringkat Parlimen Sungai Petani di Masjid Al-Ikhlas, Tikam Batu, di sini.
Beliau berkata keputusan yang dibuat oleh CAS tidak boleh menjejaskan usaha pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi.
Justeru, semua pihak berkepentingan termasuk FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu berganding bahu memperkasa pembangunan bolasepak dengan melaksanakan program-program berimpak tinggi seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Khamis lalu, CAS menolak rayuan dikemukakan FAM berhubung keputusan FIFA mengenakan denda terhadap badan itu dan menggantung tujuh pemain negara.
Panel CAS memaklumkan, denda CHF 350,000 ke atas FAM dikekalkan dan penggantungan kepada tujuh pemain berkenaan juga kekal selama 12 bulan.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC), panel memutuskan bahawa penggantungan hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Sehubungan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.