
NAIROBI, 1 Mei- Kos konflik antara Iran dan Israel yang turut melibatkan perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dianggarkan setara dengan jumlah bantuan kemanusiaan global yang mampu menampung lebih 87 juta orang, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
- Perbelanjaan AS untuk konflik kini kira-kira AS$25 bilion, hampir menyamai permohonan bantuan kemanusiaan PBB AS$23 bilion.
- Permohonan bantuan itu kurang daripada satu peratus daripada perbelanjaan dunia untuk senjata dan pertahanan.
- Konflik di Asia Barat mengganggu Selat Hormuz, menaikkan harga makanan dan bahan api, menambah risiko kebuluran.
- Lebih 300 juta memerlukan bantuan kritikal; kekangan dana menyekat bantuan, PBB amaran ratusan juta nyawa terancam dalam beberapa tahun.
Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher berkata perbelanjaan AS terhadap konflik berkenaan kini mencecah kira-kira AS$25 bilion, hampir menyamai permohonan bantuan kemanusiaan global PBB bagi tahun ini yang berjumlah AS$23 bilion.
Fletcher menegaskan konflik di Asia Barat turut memberi kesan rantaian terhadap harga bekalan global khususnya makanan dan bahan api susulan gangguan di Selat Hormuz.
“Ini menjadikan kerja kami jauh lebih sukar, pada masa sama ia menolak lebih ramai orang ke arah kebuluran dan kelaparan,” katanya.
Menurut beliau, jumlah penduduk yang mengalami kebuluran kini meningkat mendadak dengan anggaran berganda berbanding enam bulan lalu.
“Di peringkat global, lebih 300 juta orang memerlukan bantuan kritikal tetapi kami terpaksa mengehadkan kepada sekitar 87 juta sahaja akibat kekangan dana,” katanya.
Fletcher turut memberi amaran bahawa tanpa pembiayaan mencukupi, ratusan juta nyawa akan terkorban dalam beberapa tahun akan datang.
Di Somalia, keadaan kemanusiaan semakin meruncing akibat gabungan konflik, kemarau dan banjir, dengan program bantuan PBB hanya dibiayai sekitar 13 peratus.
Beliau berkata beberapa pusat kesihatan terpaksa ditutup ketika kira-kira 500,000 kanak-kanak berdepan masalah kekurangan zat makanan akut yang serius.
“Doktor memaklumkan pesakit kini tujuh kali lebih berisiko meninggal dunia kerana jarak perjalanan yang lebih jauh untuk mendapatkan rawatan. Ia amat menghancurkan,” katanya. -AFP