
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Tradisi penyediaan dan pengagihan bubur lambuk terus meriah setiap kali Ramadan, khususnya di Masjid Jamek Kampung Baru yang terkenal sebagai lokasi ikonik juadah tersebut.
- Penyediaan dijalankan secara gotong-royong oleh sukarelawan sejak awal pagi sepanjang Ramadan.
- Lebih 3,000 pek bubur lambuk disediakan setiap hari dan diagihkan percuma menjelang waktu berbuka.
- Pengunjung menyifatkan bubur lambuk sebagai juadah istimewa yang dinanti setiap kali bulan Ramadan.
- Sesetengah pengunjung datang dari luar kawasan untuk resipi tradisi, mencerminkan semangat gotong-royong dan perkongsian rezeki.
Tinjauan RTM mendapati program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat serta pengunjung dari pelbagai kawasan yang mahu mendapatkan juadah berbuka puasa itu.
Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Pembangunan Masjid Kampung Baru, Ramli Mat Yatim, penyediaan bubur lambuk dilakukan secara gotong-royong oleh sukarelawan seawal pagi sepanjang bulan Ramadan.
“Kita di sini, saya pun dah beberapa puluh tahun mengagihkan bubur lambuk tiap-tiap tahun. Tempat ini memang dah dikenali, masjid ini memang mengeluarkan bubur lambuk yang asli… bubur masjid ini sumbangan dari orang ramai, jadi di situ ada berakah dia”, ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa lebih 3,000 pek bubur lambuk disediakan setiap hari sebelum diagihkan secara percuma kepada orang ramai menjelang waktu berbuka.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui turut menyifatkan bubur lambuk Kampung Baru sebagai hidangan ikonik yang dinanti-nantikan setiap kali Ramadan.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Farhana Ibrahim menyifatkan juadah berkenaan merupakan hidangan istimewa yang menjadi tarikan Kampung Baru.
“Dia memang sedap.kalau boleh hendak cuba walau sekali.Sebab kita kerja hari biasa.Jadi hari minggu saja. Ini merupakan kali pertama saya dapat.
“Saya rasa tradisi pengagihan bubur lambuk ini perlu diteruskan kerana ia merupakan juadah ikonik Malaysia”, katanya ketika ditemui RTM di sini.
Sementara itu, Azli Asmawi menjelaskan terdapat sebahagian pengunjung sanggup datang dari luar Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan bubur lambuk yang terkenal dengan resipi tradisinya.
“Kadang-kadang orang daripada Shah Alam pun ada datang sini ambik.Tradisi ini mesti diteruskan.
“Dari segi pembahagian memang dia jaga.Tidak sesuka hati.Memang baguslah”, jelasnya.
Tradisi bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru bukan sahaja menjadi simbol kemeriahan Ramadan, malah mencerminkan semangat gotong-royong dan perkongsian rezeki dalam kalangan masyarakat.
Tradisi berkenaan telah berlangsung sejak beberapa generasi dan kekal menjadi tarikan utama setiap Ramadan.