
KUALA TERENGGANU, 7 Mac -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperkukuhkan usaha memberi kesedaran mengenai keselamatan internet dalam kalangan masyarakat menerusi program turun padang, sepanjang Ramadan ini.
- Meningkatkan pengetahuan komuniti tentang ancaman dalam talian yang semakin kompleks.
- Program disambut baik; membantu ibu bapa memantau penggunaan internet anak agar lebih selamat dan bertanggungjawab.
- Pendidikan mengikut kurikulum perlu diberi perhatian, terutama kanak-kanak bawah 12, untuk mengelakkan pengaruh buruk dalam talian.
- Kempen ini menjentik kesedaran bahawa risiko internet luas; pengawasan aktif ibu bapa amat penting.
Inisiatif itu dilaksana bagi meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai ancaman dalam talian yang semakin kompleks.
Rata-rata masyarakat menyambut baik program seperti ini dan menyifatkannya sangat membantu dalam memantau anak-anak mereka supaya menggunakan internet dengan lebih selamat serta bertanggungjawab.
“Ini satu inisiatif dan langkah terbaik untuk mendedahkan cara serta kaedah yang betul kepada ibu bapa, terutama memandangkan penggunaan gajet kini sudah berleluasa dan semakin dijadikan alat untuk mengawal anak-anak,” guru, Maheran Mohamad.
“Daripada segi fokus, sedikit perhatian perlu diberikan jika kita mahu memastikan anak-anak berfikir mengikut contoh, kurikulum dan silibus, terutamanya kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
“Mereka perlu belajar mengikut silibus pendidikan, tetapi cara mereka kini terlalu mudah terpengaruh dan melompat dari satu perkara ke perkara lain. Oleh itu, kita perlu membawa mereka kembali ke landasan yang betul dan menerangkan banyak perkara kepada mereka,” pensyarah, Dr Syayuti Mohd Adnan.
“Bagi saya, program seperti ini bagus kerana ia memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keselamatan penggunaan internet. Biasanya, jika anak-anak terlalu bebas menggunakan internet, kempen sebegini mampu menjentik minda ibu bapa supaya lebih mengawasi anak-anak mereka. Kita tidak mengetahui risiko yang wujud di luar sana kerana dunia internet terlalu luas,” guru, Osman Yasin.