Malaysia selaras usaha bawa pulang rakyat terkandas di Asia Barat

e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kementerian Luar memaklumkan bahawa pihaknya kini bekerjasama dengan perwakilan diplomatik Malaysia, kerajaan di Asia Barat serta syarikat penerbangan bagi memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara di rantau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra bekerjasama dengan perwakilan diplomatik, kerajaan Asia Barat dan syarikat penerbangan untuk memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas.
  • Usaha pemindahan gunakan pangkalan data rakyat Malaysia yang telah berdaftar untuk memudahkan penyelarasan.
  • Rakyat digesa mendaftar atau mengemas kini maklumat melalui Kedutaan atau e-Konsular untuk bantuan dan perancangan kontingensi.
  • Nasihat keselamatan: tingkatkan kewaspadaan, elak kawasan ketenteraan dan tunda perjalanan ke kawasan terjejas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa usaha pemindahan itu turut melibatkan rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air dengan menggunakan pangkalan data rakyat Malaysia yang telah berdaftar.

“Perwakilan diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas telah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi.

“Rakyat Malaysia digesa supaya segera mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my
bagi memudahkan penyelarasan pemindahan berkenaan,” menurut kenyataan kementerian itu pada Khamis.

Wisma Putra juga menggesa rakyat Malaysia di negara-negara terjejas supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Dalam nasihat perjalanan yang dikemas kini, rakyat Malaysia turut dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas akibat konflik semasa, termasuk mereka yang berhasrat menunaikan umrah atau ziarah.

Menurut Wisma Putra, pihaknya memandang serius peningkatan ketegangan konflik di Asia Barat. Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia yang terdekat.