JIM bongkar penyalahgunaan pas, sistem PRA secara dalam talian

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban

PUTRAJAYA, 5 Mac –Kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian dibongkar menerusi dua Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan secara berasingan pada 2 dan 3 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas JIM mendedahkan penyalahgunaan pas dan manipulasi permohonan PRA secara dalam talian di Johor.
  • 17 suspek ditahan termasuk pekerja asing dan seorang lelaki tempatan, disyaki dalang sindiket.
  • Penyalahgunaan melibatkan PLS dan PLKS kategori PRA, pekerja digunakan sebagai pelayan di premis hiburan.
  • Sindiket disyaki guna dokumen palsu, caj sehingga RM6,000 setiap individu; kes disiasat di bawah Akta Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan berkata, operasi digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor telah menahan 16 warga asing dan seorang lelaki tempatan.

Dalam operasi pertama pada 2 Mac di sekitar Taman Setia Tropika, Johor Bahru, seramai 11 warga asing ditahan, terdiri daripada lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.

“Semakan awal mendapati berlaku kes tinggal lebih masa serta penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan.

“Pasukan operasi turut menyita pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, premis berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira setahun.

Mengulas lanjut, dalam operasi kedua pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru, pihaknya menumpaskan sindiket yang menyalahgunakan kemudahan permohonan Sistem Maid Online (SMO).

“Lima wanita warga asing ditahan terdiri daripada empat warga Vietnam dan seorang warga Indonesia, selain seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama.

“Siasatan mendapati sindiket berkenaan mengemukakan maklumat serta dokumen disyaki palsu bagi mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA untuk individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan dan dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu,” menurutnya lagi.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k).