Keselamatan rakyat Malaysia di Asia Barat jadi keutamaan

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil / BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Mac – Kerajaan memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia di rantau Asia Barat khususnya di kawasan Teluk sentiasa menjadi keutamaan, susulan perkembangan semasa melibatkan Iran dan serangan Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan utamakan keselamatan rakyat Malaysia di Asia Barat susulan perkembangan antara Iran dan Israel.
  • Wisma Putra akan keluarkan kenyataan susulan tentang tindakan termasuk bantuan konsular dan pemindahan jika perlu.
  • Rakyat di kawasan terkesan digesa berhubung dengan perwakilan Malaysia dan patuhi nasihat keselamatan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas Kementerian Luar Negeri memberikan maklumat dan maklum balas terkini mengenai situasi semasa.

“Menjadi keutamaan untuk pihak kerajaan pada waktu ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin, sama ada mereka yang mungkin terkandas akibat ketiadaan penerbangan pulang ataupun yang bermastautin di negara-negara yang terkesan dengan apa yang sedang berlaku,” katanya pada Sidang Media Mingguan di sini, hari ini.

Tambahnya, Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan susulan dalam masa terdekat berhubung beberapa tindakan yang akan diambil kerajaan.

Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan keselamatan rakyat Malaysia termasuk mereka yang mungkin terkandas akibat pembatalan penerbangan serta yang bermastautin di negara-negara terkesan.

Datuk Fahmi berkata kerajaan sentiasa memantau keadaan dan akan mengambil langkah sewajarnya sekiranya situasi memerlukan tindakan lanjut termasuk bantuan konsular atau penyelarasan pemindahan.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia di kawasan terlibat digesa supaya sentiasa berhubung dengan perwakilan Malaysia dan mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan.