RUU had tempoh jawatan PM dibentang semula Jun

Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 4 Mac – Kerajaan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun pada persidangan Dewan Rakyat, Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan membentangkan semula RUU pindaan had tempoh perkhidmatan PM pada persidangan Dewan Rakyat Jun.
  • Cubaan sebelum ini gagal mendapat majoriti dua pertiga, mendapat 146 undi berbanding 148 diperlukan.
  • Jemaah Menteri akan pastikan Ahli Parlimen kerajaan hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan.
  • Pindaan dianggap sebahagian daripada agenda reformasi institusi untuk manfaat demokrasi jangka panjang.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu diambil selepas cubaan sebelum ini hanya mendapat 146 undi, kurang dua daripada 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, jemaah Menteri akan berusaha untuk memastikan semua Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh dengan hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang penting itu.

“RUU ini akan dibawa semula dalam sidang mesyuarat yang berikutnya sekitar bulan Jun dan kita berharap serta akan berusaha untuk memastikan ahli-ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya pada Sidang Media Mingguan di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, jemaah Menteri turut dimaklum, terdapat lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan tidak berada dalam Dewan semasa proses pengundian berlangsung, dengan dua daripadanya telah mengemukakan penjelasan rasmikepada Ketua Whip.

Beliau menegaskan pindaan tersebut merupakan sebahagian agenda reformasi institusi yang memberi manfaat kepada sistem demokrasi negara dalam jangka panjang.