Negeri Sembilan sedia 18,000 kg daging bersubsidi sempena Program Mantai Perdana

FOTO RTM

SEREMBAN, 4 Mac – Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan subsidi sebanyak 18,000 kilogram daging dengan potongan harga RM3 sekilogram menerusi penganjuran Program Mantai Perdana di semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 Mac ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Mantai Perdana diadakan untuk membantu golongan memerlukan menjelang Aidilfitri.
  • Setiap DUN akan agihkan 100 kilogram daging percuma kepada yang memerlukan.
  • Kerajaan negeri subsidi daging bagi meringankan kos sara hidup dan pelihara kebajikan rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program itu diadakan sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kita akan adakan Mantai Perdana di setiap DUN yang akan bertanggungjawab melaksanakan program ini. Sebanyak 100 kilogram daging percuma akan diagihkan kepada golongan memerlukan di setiap DUN, menjadikan keseluruhan 3,600 kilogram.

“Selain itu, sebanyak 18,000 kilogram lagi akan disubsidi dengan potongan harga RM3 sekilogram,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di sini.

Menurut beliau, Program Mantai Perdana merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara serta membantu meringankan kos sara hidup, khususnya menjelang musim perayaan.