
KUANTAN, 3 Mac – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 21 tahun yang disyaki memijak al-Quran serta menyebarkan gambar perbuatan itu melalui media sosial mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
- Pelajar IPT 21 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan memijak al-Quran dan komunikasi jelik melalui aplikasi Threads.
- Pendakwaan minta jaminan RM50,000, tetapi mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
- Kes disebut semula 8 April; tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh, K. Vikneswaran memohon dibicarakan bagi pertuduhan pertama yang dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci iaitu al-Quran dengan memijaknya, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam.
Bagi pertuduhan kedua, dia turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan satu komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya Pahang, Siti Aisyah Abdul Wahab.
Shahrizat memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 memandangkan kes berprofil tinggi, namun memaklumkan tertuduh merupakan seorang pelajar IPT dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dan Mohd Rusnizam Abdullah.
Muhammad Amirull Afiqq dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan mengambil kira tertuduh masih belajar dan bapanya menanggung keluarga termasuk isteri, dua anak, ibu dan ibu mentua serta seorang adik orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan bulanan sekitar RM5,000 sebagai penternak ikan.
Beliau turut memaklumkan bapa tertuduh yang berusia 59 tahun perlu menanggung kos rawatan penyakit jantung yang dialami serta ibu tertuduh berusia 56 tahun yang mengalami masalah lemah paru-paru.
Tertuduh juga pernah mengalami gangguan psikologi ketika di tingkatan tiga. Hakim Harmi Thamri Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. Tertuduh juga diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.