AKPS Bukit Kayu Hitam rekod rampasan lebih RM6.8 juta dalam setahun

Antara rampasan yang dilakukan AKPS Bukit Kayu Hitam

KUBANG PASU, 3 Mac – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM6.818 juta dalam tempoh setahun bermula Februari 2025 hingga Februari tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS Bukit Kayu Hitam merampas barangan bernilai RM6.818 juta dalam tempoh setahun.
  • 987 warga asing diberi Notis Penolakan Masuk disyaki bukan pelancong tulen.
  • Rampasan lebih RM3.1 juta dicatat dalam dua bulan pertama 2026, melebihi jumlah tahun sebelumnya.
  • Rampasan termasuk diesel, makanan, sayur, beras, ayam, daging babi dan ubat-ubatan; pegawai kekal bersemangat walau berdepan ancaman.

Sepanjang tempoh itu juga, seramai 987 warga asing pelbagai warganegara menerima Notis Penolakan Masuk (NPM) kerana disyaki bukan pelancong tulen.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir ketika dihubungi RTM berkata, dalam tempoh dua bulan pertama 2026 sahaja, rampasan barangan bernilai lebih RM3.1 juta dilakukan.

“Angka itu jauh lebih tinggi berbanding rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM3.7 juta yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan itu berjaya menggagalkan banyak cubaan menyeludup barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Ia termasuk minyak diesel yang cuba diseludup ke negara jiran dengan menggunakan pelbagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Selain itu, pelbagai produk makanan, sayur-sayuran, beras, ayam, daging babi dan ubat-ubatan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah juga turut dirampas.

Walaupun berdepan pelbagai ancaman dan ugutan termasuk beliau sendiri ditembak oleh individu tidak dikenali pada 25 Februari lalu, namun ia tidak menjejaskan semangat dan moral pegawai dan anggota dalam mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang negara.